Thursday, August 13, 2009

Roslin Hashim failkan ganti rugi lebih RM50 ribu terhadap bekas isteri


Roslin Hashim memfailkan tuntutan ganti rugi lebih RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad. foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Roslin Hashim hari ini memfailkan permohonan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000 terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pagi tadi.

Roslin menjelaskan tuntutan ganti rugi yang dibuatnya adalah meliputi seluruh wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinannya bersama bekas isteri.

Bagaimanapun, Roslin enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan yang dilakukannya tetapi mengatakan dia mempunyai hak untuk membuat tuntutan ganti rugi ini.

"Mungkin bagi pihak perempuan masalah antara kami sudah selesai. Tapi tidak bagi saya. Saya ada hak untuk buat tuntutan ganti rugi.

"Saya tidak ada niat untuk mengenakan mana-mana pihak ataupun nak cari publisiti. Tuntutan ini lebih kepada hak maruah saya sendiri dan jika diikutkan kes saya ini, tidak berlaku sebarang perkahwinan yang sebenar-benarnya antara kami," katanya yang hadir ditemani peguamnya, Roslizam Rahim.

Sebelum ini, Roslin pernah memaklumkan yang dia berkemungkinan akan menarik semula saman ganti rugi itu jika Faizah memulangkan segala hantaran perkahwinan.

Namun, hari ini dia menegaskan untuk meneruskan saman itu walaupun jumlah ganti rugi yang dituntut berkurangan.

Ditanya adakah dia dan Faizah pernah berbincang mengenai hal ini di luar, Roslin menjawab: "Kami tidak pernah berbincang kerana tiada ruang antara satu sama lain..bukan kerana saya ego."

Roslin yang masih meneruskan kariernya sebagai pemain badminton negara juga meletakkan harapan pada kebijaksaan peguamnya untuk menguruskan kes ini.

Dalam pada itu, Roslizam memberitahu prosiding kes ini akan dijalankan di mahkamah tinggi namun pihaknya tidak boleh mengumumkan jumlah tuntutan yang diminta kerana kes ini baru hendak bermula.

Bekas isteri Roslin, Faizah Mohamad.

"Kita tidak boleh nak umumkan jumlah tuntutan kerana kes masih belum bermula, namun secara umumnya, jika permohonan ini difailkan di mahkamah rendah syariah, jumlah tuntutan tersebut adalah dalam RM50,000 ke bawah.

"Tetapi kita failkan di mahkamah tinggi syariah, jadi jumlahnya boleh jadi lebih dari RM 50,000. Kita akan beri peluang kepada Roslin dan Faizah untuk berbincang terlebih dahulu," katanya yang ditemui selepas selesai memfailkan permohonan anak guamnya.

Bagaimanapun Roslizam mengatakan dia sangat yakin kes ini dapat diselesaikan dengan baik jika mendapat kerjasama daripada kedua-dua pihak.

"Saya sangat optimis dalam hal ini dan saya percaya jika kedua-dua pihak boleh memberi kerjasama yang baik, kes ini pasti dapat diselesaikan dengan baik dan cepat," jelasnya.

Sehubungan itu, Roslizam memaklumkan pasangan bekas suami-isteri ini akan diberi peluang untuk berbincang dalam satu proses sulh (perbincangan) yang akan diadakan pada 25 Ogos nanti.

Sebelum ini Roslin pernah merancang untuk mengemukakan saman RM50,000 terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Namun, saman berkenaan hanya akan difailkan sejurus dia memperolehi surat pembatalan pernikahan yang ketika itu lewat dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Roslin dan Faizah mula berkenalan sejak Hari Raya Haji pada tahun 2005 di rumah Raja Azmi.

Selepas ditunangkan pada 1 November tahun lalu, Faizah mula rapat dengan Roslin dan mula keluar berdua sebelum bernikah pada 30 Januari lalu.

Perkahwinan Roslin dan Faizah telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah dan menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah yang sama.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei lalu.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/8/12/mstar_hiburan/20090812130558&sec=mstar_hiburan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...