helmy@hmetro.com.my
SERDANG: Peristiwa menyayat hati dua tahun lalu apabila kedua-dua ibu, bapa selain dua adiknya maut serentak dalam tragedi kebakaran tidak mematahkan semangat Faezah Noor Kasmuri, 22, dari Batu Pahat, Johor, untuk meneruskan pengajian hingga selesai sekali gus menggenggam segulung ijazah.
Graduan Bacelor Pengkhususan Bahasa Inggeris itu berkata, sungguhpun pada awalnya patah semangat, dia berjaya kuatkan tekad untuk tidak mengaku kalah akibat kejadian meruntun perasaan itu.
Katanya, dia berharap keazaman ditunjukkan untuk meneruskan pengajian akan dituruti adik-adiknya hingga berjaya dalam hidup sekali gus membawa keluarga mereka keluar dari belenggu kemiskinan.
“Saya anak sulung dan kerana itu mahu tidak mahu perlu juga berjuang meneruskan pengajian bagi membantu tiga adik lain yang terselamat dalam kejadian itu.
“Malah, kejadian itu menyebabkan kami adik beradik jadi lebih peka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi. Selain saya, dua adik, Salahuddin, 21, dan Juliana sedang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda sementara Farhana berada di tingkatan lima,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-33 Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.
Menceritakan tragedi meragut nyawa empat orang paling disayanginya itu, Faezah Noor berkata, ketika kejadian, dia berada dalam tahun dua di universiti terbabit.
“Luluh hati ketika diberitahu mengenai kejadian itu hingga kering air mata dibuatnya. Tapi bila sedar hakikat takdir dan mengenangkan adik-adik lain, saya kumpul kekuatan untuk teruskan juga pengajian,” katanya.
Ditanya perancangan masa terdekatnya, Faezah Noor berkata, dia sedang berusaha mencari apa juga kerja yang boleh menampung keperluan diri dan tiga adiknya.
“Sekarang ini kami tinggal dengan nenek yang serba kedaifan. Saya harap selepas ini segera dapat kerja untuk membolehkan saya membantu keluarga,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090813001825/Article/index_html
No comments:
Post a Comment