Sunday, October 4, 2009

Sekilas pandang tentang perbuatan terkutuk

Posted on Sunday, October 04 @ 11:05:02 MYT by Paktam

SAYA bertemu seorang kenalan semasa Hari Raya baru-baru ini. Dia seorang usahawan restoran yang begitu berjaya pada mulanya tetapi akhir-akhir ini tidak ramai lagi pelanggan yang datang ke restorannya.

Dia merasa hairan kerana perniagaannya begitu merosot sedangkan mutu dan harga makanannya sama seperti pada mula-mula dibuka.


Dia bertemu seorang alim yang bukan bomoh dan diberitahu memang ada unsur khianat.

Walaupun tidak diberitahu dengan jelas daripada apa yang dibayang-bayangkan kepadanya, dia dapat memastikan yang membuat khianat kepadanya ialah seorang tuan punya restoran yang juga pemilik bangunan di situ.

Disebabkan sifat yang tamak dan berduit, dia sanggup menghancurkan periuk nasi orang lain.

Dalam perniagaan, perebutan kuasa, bahagian pasaran, sabotaj menggunakan sihir dan ilmu hitam bukan lagi perkara baru, baik dalam perniagaan warung mahu pun perniagaan nilai beratus juta.

Rebut merebut projek dan kontrak misalnya menjadi agenda utama, tak dapat cara baik cara halus.

Cerita begini memang tidak ganjil. Malahan boleh dikatakan sudah menjadi lumrah orang kita walau di mana sekali pun.

Ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada sifat hasad, dengki, cemburu, tamak, tidak senang melihat kejayaan orang lain.

Kita berada di kurun ke-21 tetapi perbuatan terkutuk ini masih berleluasa. Cerita khianat mengkhianati ini meliputi pelbagai bentuk.

Pertama perkara begini boleh berlaku di kalangan ahli keluarga, umpama suami dan isteri. Cerita isteri memberikan makanan kotor seperti kuku, rambut, darah kepada suami bersama nasi memang diketahui ramai sehinggakan pernah dimegahkan dalam sebuah drama tv.

Tujuan perbuatan begini adalah supaya suami tunduk kepada apa jua kehendak isteri. Suami juga tidak mahu kalah melakukan sesuatu supaya si isteri tunduk kepada suami.

Cerita tunduk menunduk antara suami dan isteri ini kadang-kadang adalah atas saranan mertua, saudara mara dan kawan-kawan. Kadang-kadang kawan sendiri yang berniat jahat tidak senang melihat kebahagiaan orang lain tetapi begitu rapat menjadi batu api.

Kata Confucius, “Kita boleh berjaga-jaga dengan musuh tetapi kalah dengan kawan.”

Di kalangan adik beradik, saudara mara pun boleh berlaku. Misalnya dalam kes rebutan harta sesama adik beradik atau saudara mara tiba-tiba ada yang jatuh sakit teruk.

Seni penggunaan ilmu hitam ini sudah begitu canggih sehinggakan mangsa yang mati boleh dikatakan kerana serangan jantung atau sesuatu yang nampak secara fizikal.

Pernah berlaku di sebuah cawangan bank di Utara yang mana pengurusnya begitu percaya akan penolongnya sehinggakan memberi kunci rumahnya tanpa menghiraukan perbuatan khianat penolong yang bercita-cita besar.

Pengurus ini jatuh sakit kuat dan apabila diubati secara tradisional didapati perkara yang bukan-bukan ditabur di bawah katilnya. Semasa itu dia baru ditukarkan ke cawangan bank tersebut dan keluarganya belum lagi bersamanya. Rupa-rupanya penolongnya berangan hendak mengambil alih jawatannya.

Seorang wanita muda yang bekerja dengan sebuah bank diminati oleh seorang pelanggan lelaki yang sudah beristeri.

Apabila pinangannya ditolak oleh wanita tersebut, wanita tersebut berkelakuan pelik mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sehingga dia bertelanjang bulat dan keluar rumah untuk berjalan-jalan. Ibu bapa wanita terpaksa membawa balik ke kampung dan mengunci wanita muda ini di dalam bilik sehingga dirawat.

Selain di rumah, perkara khianat mengkhianati ini boleh juga berlaku di tempat kerja. Saya pernah melihat kawan saya yang berjawatan tinggi dalam kerajaan menggelupas keseluruhan kulit di badannya seperti terbakar sehinggakan kedua-dua belah matanya terpaksa ditampalkan plaster.

Ini adalah ekoran tindakan disiplin yang diambilnya terhadap seorang kakitangan di pejabatnya yang telah melanggar peraturan pejabat dengan menukarnya ke tempat lain. Bayangkan seluruh badan tidak lagi berkulit sehinggakan kuku-kuku kaki dan tangannya terpaksa dibuang.

Di pejabat pun macam-macam boleh berlaku kalau tidak berhati-hati. Dalam minuman dan makanan, orang yang sakit hati boleh buat macam-macam. Cemburu akan kebolehan atau kenaikan pangkat orang lain boleh jadi punca seseorang itu menjadi mangsa ilmu hitam.

Itu sebabnya kadang-kadang kita lihat ketua-ketua pejabat minum hanya air kosong sahaja.

Di kalangan ahli politik juga perbuatan khianat mengkhianati, fitnah memfitnah tidak lengang terutama sekali semasa pemilihan kepimpinan di peringkat bawah sehingga ke atas. Itu sebabnya waktu pemilihan pemimpin ini tok bomoh, tok cak dan tok batin keluar dari tempat penginapan mereka untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan perkhidmatan mereka.

Di kalangan artis, tak payah cerita. Ada yang hilang suara semasa menjadi pengacara majlis, ada yang kena busung, kena santau sampai mati dan rumah tangga porak peranda sehingga bercerai berai.

Sikap cemburu mencemburui ini sudah menjadi lumrah di kalangan artis. Daripada cemburu akan muncullah gosip dan fitnah. Semua ini akan jadi bahan hangat majalah, akhbar dan program televisyen.

Rating program tv yang memuatkan cerita-cerita begini akan sentiasa tinggi dan wartawan-wartawan akan semakin berani bertanyakan yang bukan-bukan yang boleh melaga-lagakan antara satu dengan yang lain, seolah-olah mereka diberikan hak istimewa untuk mengaibkan seseorang. Malangnya orang kita gemar menyaksikan orang diaibkan.

Agaknya orang yang melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk ini menyangka mereka ini tidak akan mati suatu hari nanti dan mengadap Illahi. Kepada bakal yang menjadi mangsa beringat-ingatlah.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden

Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=4051&mode=thread&order=0&thold=0

Jangan gugurkan anak!

Jangan gugurkan anak!


WANITA yang pernah menggugurkan janin berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran seterusnya.


PENGGUGURAN kandungan bakal mengundang risiko pada kemudian hari. Wanita yang melakukan pengguguran sebenarnya berisiko melahirkan bayi pramatang pada kelahiran yang seterusnya.

Kajian pakar perubatan dari Kanada mendapati wanita yang menjalani proses pengguguran berisiko sebanyak 72 peratus mendapat bayi kurang berat badan dan 93 peratus bayi pramatang.

Pakar Jabatan Pediatrik di Hospital Mount Sinai, Toronto Dr. Prakesh Shah mendedahkan, antara punca utama keadaan itu adalah kerosakan fizikal pada bahagian serviks yang terjadi ketika pengguguran secara konvensional dilakukan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_03.htm

Periksa kesakitan dalaman

KESAKITAN fizikal sering kita rasai jika berlaku impak yang datangnya dari luar tubuh seperti terjatuh, dipukul, berlanggar atau ditimpa sesuatu objek berat dan keras.

Namun, ada juga orang yang merasakan sakit secara tiba-tiba seperti tikaman pisau dan datangnya dari dalam tubuh mereka sendiri.

Memandangkan kawasan antara rusuk dan punggung banyak dipenuhi organ dalaman, simptom kesakitan itu boleh menjadi petanda komplikasi akibat saluran darah tersumbat. Keadaan itu seterusnya menyebabkan gangguan fungsi organ dan jangkitan berbahaya.

Jika kesakitan itu dirasakan di bahagian abdomen bawah sebelah kanan dan kiraan sel darah putih meningkat, bermakna seseorang menderita appendisitis. Sekiranya rasa sakit itu di bahagian abdomen atas serta kiraan sel darah putih yang tinggi, berkemungkinan ia disebabkan masalah keradangan pundi kencing.

Jika kesakitan itu berlaku di bahagian bawah tulang dada hingga enzim tertentu dalam darah meningkat, ia barangkali berpunca daripada pankreatitis. Dalam keadaan ini, pankreas mahu berfungsi seperti biasa, tetapi pembentukan batu karang menyumbat saluran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_04.htm

Pengurangan risiko CT Scan

INDIVIDU yang mengalami kecederaan pada bahagian kepala menghadapi banyak risiko. Namun, penyelidik di Amerika Syarikat yang menganalisis data ke atas 42,000 kanak-kanak yang mengalami kecederaan kepala, mendapati hanya 35 peratus yang memerlukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Penulis kajian dari Pusat Perubatan Davis di Sacramento, Universiti California, Dr. Nathan Kupperman menegaskan, kajian tersebut mampu mengurangkan penggunaan CT Scan yang boleh mendedahkan kanak-kanak di bawah usia dua tahun kepada radiasi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_06.htm

Pil multivitamin bawa keburukan

Pil multivitamin bawa keburukan


SEBAHAGIAN besar pengguna sebenarnya tidak memerlukan pil multivitamin.


PENGAMBILAN pil multivitamin di kalangan jutaan penduduk dunia adalah langkah sia-sia kerana ia sebenarnya mendatangkan lebih banyak keburukan kepada kesihatan.

Menurut bekas penasihat pemakanan kerajaan Britain, Brian Ratcliffe, sejumlah RM3.6 bilion dihabiskan dalam pengambilan multivitamin setiap tahun yang sebenarnya sihat dan tidak memerlukan pil tersebut.

Jelasnya lagi, antara keburukan pengambilan pil tersebut seperti minyak ikan sebagai multivitamin ialah ia mampu meningkatkan fenomena tulang rapuh pada masa akan datang kerana pengambilan vitamin A secara berlebihan tanpa disedari.

Kebanyakan pengguna mengambil pil multivitamin kerana kebimbangan tidak berasas terhadap kesihatan mereka serta dipengaruhi oleh iklan pihak farmasi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Beri biru hilangkan mengantuk

MENGUNYAH semangkuk beri biru yang kaya dengan vitamin C dan E ketika sarapan pagi mampu menghentikan rasa letih pada waktu tengah hari.

Penyelidik mendapati dengan pengambilan buah-buahan, ia dapat membantu meningkatkan daya tumpuan dan ingatan sehingga lima jam kemudiannya.

Menurut penyelidik dari Universiti Reading, Britain, Dr Jeremy Spencer, kandungan antioksida yang terdapat dalam beri biru meningkatkan aliran darah dan oksigen ke otak, sekali gus menjadikan otak sentiasa cergas.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0913&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Klorin kolam renang


ANCAMAN klorin lebih serius berbanding kesan asap rokok pasif ke atas kanak-kanak.


SAINTIS memberi amaran tentang peningkatan risiko asma kepada kanak-kanak yang kerap menggunakan kolam renang tertutup.

Menurut profesor toksikologi dari Universiti Catholic, Louvain, Perancis, Alfred Bernard, klorin yang terdapat di dalam kolam renang tersebut mampu mengganggu laluan udara dan paru-paru serta meningkatkan risiko alahan.

Kajian tersebut juga mendedahkan klorin yang digunakan meningkatkan kesan terhadap sistem pernafasan kanak-kanak sehingga lima kali ganda, lebih serius daripada kesan asap rokok pasif.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Jijik kuku berkulat

Jangkitannya boleh tersebar melalui medium air misalnya di kolam renang.


KULAT kuku yang lazimnya bermula di kuku kaki boleh berjangkit ke kuku tangan.



PARA atlet yang mengalami kurap kaki (tinea pedis) cenderung untuk mendapat jangkitan yang lebih buruk iaitu kulat pada kuku.


SESEORANG selalunya tidak sedar jika masalah kulat atau fungus mula menjangkiti satu atau lebih kukunya. Daripada titik kecil berwarna kekuningan di hujung kuku tangan atau kaki, ia boleh memburuk hingga menyebabkan warna kuku berubah menjadi gelap, mengeras, hilang lapisan berkilat dan teksturnya menggerutu.

Keadaan itu memalukan si empunya diri kerana rupa kuku yang mengundang perasaan geli, walaupun hanya dengan melihatnya. Sebelum ia semakin merebak dan membuatkan seseorang berasa tidak selesa, kawalan dan rawatannya perlu disegerakan.

Peratusan jangkitan kulat kuku atau onikomikosis lebih tinggi di negara yang beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.

Jika kaki sering bersarung kasut dalam iklim begitu, perpeluhan akan berlaku dan ia mengundang bukan sahaja pembiakan bakteria, malah pembentukan kulat.

Lebih membimbangkan, jangkitan kulat ini bukan sahaja boleh berlaku dari kuku kaki ke kuku tangan seseorang, bahkan boleh disebar pula oleh agen air. Maka, tempat-tempat seperti kolam renang awam dan bilik air juga lokasi ideal untuk kulat ini menjangkiti orang lain.

Jangkitan kulat ini boleh menyebabkan seseorang berasa gatal dan perit selain mampu meninggalkan kerosakan kekal kepada kuku. Ia juga membuka risiko jangkitan yang lebih teruk dan ini berbahaya untuk penghidap diabetes atau mereka yang lemah sistem imunisasi seperti penghidap leukemia, AIDS atau yang sedang menjalani pemindahan organ.

"Apabila kulat mula 'menghuni' kuku, ia sukar dilenyapkan dengan cepat. Namun, ia boleh dibasmi jika seseorang berdisiplin dalam menjalankan rutin rawatannya.

"Ia tidak hilang dengan sendiri, maka seseorang yang mengalaminya tidak boleh memandang ringan masalah ini. Penggunaan minyak sapu adalah pilihan paling mudah," kata pakar bedah tangan di Marin General Hospital California, Amerika Syarikat (AS), Dr. David Nelson.

Ubat sapu

Menurut Nelson dalam portal kesihatannya, pesakit di AS yang dijangkiti kulat kuku lazimnya diberikan pil griseofulvin untuk tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

"Tetapi, ia meninggalkan kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, gangguan fungsi darah dan kerosakan hati. Sebab itulah ramai doktor menyarankan ubat sapu termasuk minyak homeopati.

Bagaimanapun, membuang terus kuku yang dijangkiti itu tidak akan membebaskan seseorang daripada onikomikosis.

"Apabila lapisan kuku baru mula terbentuk, jangkitan akan bermula semula," kata Nelson.

Jika tidak berkesempatan bertemu doktor, terdapat beberapa jenis dan jenama ubat sapuan yang boleh didapatkan di kaunter farmasi.

Pesakit diingatkan untuk membaca keterangan pada label produk terlebih dahulu untuk memahami lebih lanjut cara, proses, dan kesan penggunaan ubat-ubatan tersebut.

Sebelum menyapu ubat, pesakit perlu selalu membersihkan kuku tangan dan kaki, baik yang dijangkiti mahupun yang tidak dijangkiti.

Ubat perlu disapu di bahagian hujung dan di bawah lapisan kuku serta di unjuran pangkal kulit dengan sekata. Ia penting kerana bahagian kulit yang terjejas dengan jangkitan kulat di sekeliling kuku (paronisia) boleh dijangka kerana bakteria dan kulat merebak apabila fungsi ketahanan tubuh terjejas.

"Apabila menyapu krim pembasmi kulat itu, bahagian kutikel tidak perlu ditolak atau dikorek. Manakala bagi wanita, pemakaian kuku palsu aalah lebih baik dielakkan. Pembersihan kuku dengan pembersih pengilat kuku juga tidak digalakkan bagi menghindar masalah yang berkaitan," terang Nelson.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Penemuan

Bayi abad ini lebih panjang umur


MENGALAMI migrain sekali dalam seminggu meningkatkan risiko angin ahmar dan serangan jantung sebanyak tiga kali ganda.


ADA berita gembira untuk para ibu bapa yang melahirkan bayi pada abad ini kerana dijangkakan usia cahaya mata mereka akan lebih panjang.

Menurut para pengkaji dari Denmark, sejak awal abad ke-20, masyarakat dari negara membangun boleh hidup tiga dekad lebih lama berbanding generasi sebelumnya dan trend ini dilihat akan terus bertahan.

Artikel yang diterbitkan jurnal perubatan Lancet itu melaporkan bahawa proses penuaan mungkin dapat ‘dicegah dan diubah’.

Kajian ini juga percaya penambahbaikan dalam sistem kesihatan mampu melanjutkan usia manusia. Jika sebelum ini golongan warga emas sering dikaitkan dengan penyakit kritikal seperti sakit jantung, kanser dan kencing manis, perkembangan dunia perubatan telah memberi peluang baru kepada manusia untuk hidup lebih lama dan kekal aktif pada usia tua.

Jadi, bersedialah untuk merayakan ulang tahun kelahiran yang ke-100!

Migrain tanda akan diserang angin ahmar




BUKAN mahu menakut-nakutkan tetapi satu penyakit boleh menjadi gejala penyakit kedua. Penyakit migrain yang sering menyerang di bahagian sebelah kepala memberi gambaran risiko angin ahmar dan serangan jantung.

Satu kajian di Amerika Syarikat dua tahun lalu mendapati jika seseorang itu diserang migrain sekali sebulan bermakna risiko serangan jantung meningkat 50 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan orang yang tidak pernah mengalami migrain.

Sementara itu, apabila seseorang mengalami migrain sekali dalam seminggu, risiko terhadap angin ahmar dan serangan jantung boleh meningkat tiga kali ganda.

Bagaimanapun, menurut seorang pakar dari Hospital Omni Pulomas, Dr. Imam Nito, hanya sakit kepala teruk yang disebabkan oleh salah satu organ tubuh tidak berfungsi dengan baik, contohnya aliran darah yang tersumbat dengan kolesterol, boleh membawa kepada angin ahmar dan serangan jantung.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Aktif seks punca kanser

HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.


VAKSIN HPV yang diterima remaja perempuan mengurangkan risiko mendapat kanser serviks.


KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.

Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.

“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.

“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.


'JALANI ujian pap smear.' - B.K. TAN


Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.

“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.

“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.

“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.




Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.

“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.

Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.

Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysiaialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.

Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.

Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).

“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.

Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.


KANSER serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. - Gambar hiasan.


Vaksin

Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.

Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.

Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks

“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.

Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.

Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.

“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.

“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.

Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.

“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.

“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Dekatnya Padang dengan kita




IQBAL AZFAR IBRAHIM, 24, sedang membawa anaknya yang berusia dua tahun menaiki motosikal untuk membeli bakso di sebuah gerai berhampiran rumah sewanya di Jati, Padang, apabila gempa bumi sekuat 7.6 pada skala Ritcher melanda Sumatera Barat, Indonesia, petang Rabu lalu.

“Sebaik sampai, saya terasa motosikal saya bergoyang dan gerai tersebut bergerak. Saya terus beredar dari situ tetapi tidak sampai lima saat, saya lihat kenderaan di depan terangkat, jalan retak dan terbelah manakala bangunan runtuh,” ujar pelajar Malaysia yang sedang menuntut dalam jurusan perubatan di Universiti Andalas, Padang ini.

Iqbal merupakan salah seorang daripada kira-kira 320 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti tersebut.

Di sebalik beberapa siri kejadian gempa bumi dalam tempoh beberapa tahun, Padang hakikatnya begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

Menurut Iqbal, Padang merupakan tempat yang begitu tenang dan tidak banyak berbeza dengan suasana di Malaysia.


BUMBUNG Minangkabau yang popular di Padang masih boleh ditemui di Negeri Sembilan.


“Padang macam Malaysia juga. Adat budaya pun lebih kurang sama. Walaupun sebelum ini banyak berita yang mengatakan tempat ini akan mengalami gegaran seperti gempa bumi atau tsunami, saya kuatkan juga hati untuk meneruskan pengajian di sini.

“Ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Kalau nak jadi, di mana-mana pun boleh jadi perkara sebegini,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar jurusan perubatan, Hani Hafiza Mohd Shafii, 23, menyukai rendang Padang yang sememangnya terkenal di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

“Sebelum ini saya agak bermasalah untuk memahami loghat orang Minang. Tapi bila dah lama, bolehlah cakap sikit-sikit,” tuturnya yang berasal dari Negeri Sembilan.


SEORANG anggota polis sedang berdiri di tapak runtuhan Hotel Ambacang di Padang ketika dalam usaha mencari dan menyelamat.


Tragedi gempa bumi yang melanda bandar tepian pantai dengan jumlah penduduk mencecah 900,000 itu merupakan satu kejutan terbaru. Angka kematian sehingga semalam sudah melebihi 1,100 orang dan ramai lagi yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan beribu-ribu bangunan.

“Angka kematian mampu meningkat melebihi 2,000 orang,” ujar Ketua Palang Merah Antarabangsa, Bob McKerrow.

Sebenarnya, orang Padang juga ramai yang mencari rezeki malah menetap di Malaysia termasuk pemilik rangkaian Restoran Sari Ratu di Lembah Klang, Junaidi Jaba.

Beliau yang senang dengan panggilan Pak Midi sedang menghabiskan cuti lebarannya di Padang sejak hari raya ketiga lalu. Ketika di Padang, dia turut dijemput menjadi tetamu dalam sebuah majlis perkahwinan.


JUNAIDI (tengah) bersama petugas Restoran Sari Ratu Grand di Bukit Bintang mendekatkan budaya Padang di kalangan warga Kuala Lumpur.









TRADISI masakan Padang sudah berusia ratusan tahun.


Bagaimanapun, Pak Midi telah berlepas meninggalkan Padang sehari lebih awal ke Jambi (daerah pantai timur di Sumatera Tengah) sebelum berlakunya gempa tersebut.

“Menurut ayah saya, ketika di Jambi dia dapat merasai gegaran susulan. Tanpa perlu menghabiskan banyak masa di sana, ayah saya kini sedang berada di Jakarta untuk urusan terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur minggu hadapan,” ujar anaknya, Mona, ketika dihubungi Jurnal.

Perantau Minangkabau

Usahawan yang paling akhir membuka cawangan restorannya di pusat beli-belah Subang Parade di Subang Jaya itu dikhabarkan sihat dan selamat.

“Cuma kami ada saudara yang sedang menuntut di salah sebuah universiti tempatan di Sijunjung, Padang. Ibunya kini tidak henti menangis. Ahli keluarganya yang lain juga sedang menunggu khabar berita daripadanya lantaran sehingga kini semua saluran komunikasi terputus.

“Semua sedang bimbang kerana universiti itu dilaporkan musnah dalam gempa. Harap-harap dia terselamat,” ujar Mona.

Francais Restoran Sari Ratu di Malaysia dimulakan Pak Midi sejak hampir sedekad lalu. Percubaan pertama di negara luar itu adalah berikutan rekod cemerlang empayar perniagaan asal Sari Ratu di Indonesia. Sehingga kini, sudah terdapat lebih 20 buah cawangan Sari Ratu di serata bandar raya Jakarta dan juga di Palembang.

Di Kuala Lumpur, restoran masakan Padang ini boleh dikunjungi di Jalan Sultan Ismail, Ampang dan Kelana Jaya, selain restoran pertama dengan dapur induk di Desa Pandan, Cheras.

Ketika bertanya tentang asal-usul dan identiti masyarakat Minangkabau yang merupakan majoriti penduduk Padang, Pak Midi mengatakan bahawa semua itu bermula daripada kegemilangan tradisi yang mencecah usia ratusan tahun.

“Masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat amat terkenal dan setia pada Adat Pepatihnya. Selain kesantunan budaya dalam kekayaan sejarahnya, masyarakat ini juga terkenal dengan kepakaran memasak,” ujarnya dalam pertemuan dengan Jurnal sebelum ini.

Resipi nasi Padang yang tiada duanya di dunia menjadi kemestian dalam setiap perhimpunan sosial dan keraian bangsa mereka. Selain memenuhi tuntutan selera, masyarakat Minangkabau percaya bahawa makanan adalah salah satu faktor penting untuk merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara dan juga komuniti.

“Suatu ketika dahulu, sejarah perdagangan dan perkahwinan membantu menyebarkan budaya dan entiti Minangkabau ke Semenanjung Tanah Melayu. Para perantau Minang turut membawa bersama adat budaya mereka termasuklah kemahiran dalam masakan.

“Ini yang menjadikan masakan Padang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu Malaysia hingga hari ini. Lagipun, lidah orang Melayu senang menerima rasa yang terkandung dalam masakan Padang,” terang Pak Midi.

Kulinari

Sajian tradisi seperti rendang daging, ulam-ulaman, asam pedas ikan, keli sambal, kalei lembu, belut goreng, pucuk ubi, dan gulai tunjang amat istimewa dalam catatan selera orang Malaysia. Penggunaan daun cekur dalam gulai lemak Padang adalah perisa yang memperjelas ciri kulinari Minangkabau.

Pewaris Minangkabau sudah banyak mengukir nama bukan sahaja di tanah asal sendiri, malah ke seberang laut. Di Singapura misalnya, mantan Presiden pertamanya iaitu Yusof Ishak merupakan orang berdarah Minangkabau. Begitu juga dengan Zubir Said yang mencipta lagu kebangsaan republik itu, Majulah Singapura.

Di Malaysia, antara yang berdarah Minang ialah mantan Menteri Sukan dan Kebudayaan dan sejarahwan sekitar tahun 1970-an, Tan Sri Abdul Samad Idris, dan juga wira Perang Dunia Kedua, Leftenan Adnan Saidi.

Jika diteliti, sebutan bahasa Minangkabau mempunyai penutur ‘kembar’ di kalangan orang Melayu Negeri Sembilan yang rata-ratanya mempunyai pertalian saudara dengan kelompok Minangkabau.

Daripada apa yang telah berlaku dalam minggu ini, jelas sekali bukan setakat bahasa, adat budaya dan makanan yang membuatkan rakyat Malaysia dekat dengan keistimewaan Padang khususnya dan Indonesia amnya.

Tragedi goncangan bumi itu membuatkan rakyat Malaysia semakin dekat dengan Padang kerana turut terasa akan kesedihan dan penderitaan, seterusnya mencetus panggilan kemanusiaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...