Sunday, October 4, 2009

Dekatnya Padang dengan kita




IQBAL AZFAR IBRAHIM, 24, sedang membawa anaknya yang berusia dua tahun menaiki motosikal untuk membeli bakso di sebuah gerai berhampiran rumah sewanya di Jati, Padang, apabila gempa bumi sekuat 7.6 pada skala Ritcher melanda Sumatera Barat, Indonesia, petang Rabu lalu.

“Sebaik sampai, saya terasa motosikal saya bergoyang dan gerai tersebut bergerak. Saya terus beredar dari situ tetapi tidak sampai lima saat, saya lihat kenderaan di depan terangkat, jalan retak dan terbelah manakala bangunan runtuh,” ujar pelajar Malaysia yang sedang menuntut dalam jurusan perubatan di Universiti Andalas, Padang ini.

Iqbal merupakan salah seorang daripada kira-kira 320 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di universiti tersebut.

Di sebalik beberapa siri kejadian gempa bumi dalam tempoh beberapa tahun, Padang hakikatnya begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

Menurut Iqbal, Padang merupakan tempat yang begitu tenang dan tidak banyak berbeza dengan suasana di Malaysia.


BUMBUNG Minangkabau yang popular di Padang masih boleh ditemui di Negeri Sembilan.


“Padang macam Malaysia juga. Adat budaya pun lebih kurang sama. Walaupun sebelum ini banyak berita yang mengatakan tempat ini akan mengalami gegaran seperti gempa bumi atau tsunami, saya kuatkan juga hati untuk meneruskan pengajian di sini.

“Ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Kalau nak jadi, di mana-mana pun boleh jadi perkara sebegini,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar jurusan perubatan, Hani Hafiza Mohd Shafii, 23, menyukai rendang Padang yang sememangnya terkenal di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

“Sebelum ini saya agak bermasalah untuk memahami loghat orang Minang. Tapi bila dah lama, bolehlah cakap sikit-sikit,” tuturnya yang berasal dari Negeri Sembilan.


SEORANG anggota polis sedang berdiri di tapak runtuhan Hotel Ambacang di Padang ketika dalam usaha mencari dan menyelamat.


Tragedi gempa bumi yang melanda bandar tepian pantai dengan jumlah penduduk mencecah 900,000 itu merupakan satu kejutan terbaru. Angka kematian sehingga semalam sudah melebihi 1,100 orang dan ramai lagi yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan beribu-ribu bangunan.

“Angka kematian mampu meningkat melebihi 2,000 orang,” ujar Ketua Palang Merah Antarabangsa, Bob McKerrow.

Sebenarnya, orang Padang juga ramai yang mencari rezeki malah menetap di Malaysia termasuk pemilik rangkaian Restoran Sari Ratu di Lembah Klang, Junaidi Jaba.

Beliau yang senang dengan panggilan Pak Midi sedang menghabiskan cuti lebarannya di Padang sejak hari raya ketiga lalu. Ketika di Padang, dia turut dijemput menjadi tetamu dalam sebuah majlis perkahwinan.


JUNAIDI (tengah) bersama petugas Restoran Sari Ratu Grand di Bukit Bintang mendekatkan budaya Padang di kalangan warga Kuala Lumpur.









TRADISI masakan Padang sudah berusia ratusan tahun.


Bagaimanapun, Pak Midi telah berlepas meninggalkan Padang sehari lebih awal ke Jambi (daerah pantai timur di Sumatera Tengah) sebelum berlakunya gempa tersebut.

“Menurut ayah saya, ketika di Jambi dia dapat merasai gegaran susulan. Tanpa perlu menghabiskan banyak masa di sana, ayah saya kini sedang berada di Jakarta untuk urusan terakhir sebelum kembali ke Kuala Lumpur minggu hadapan,” ujar anaknya, Mona, ketika dihubungi Jurnal.

Perantau Minangkabau

Usahawan yang paling akhir membuka cawangan restorannya di pusat beli-belah Subang Parade di Subang Jaya itu dikhabarkan sihat dan selamat.

“Cuma kami ada saudara yang sedang menuntut di salah sebuah universiti tempatan di Sijunjung, Padang. Ibunya kini tidak henti menangis. Ahli keluarganya yang lain juga sedang menunggu khabar berita daripadanya lantaran sehingga kini semua saluran komunikasi terputus.

“Semua sedang bimbang kerana universiti itu dilaporkan musnah dalam gempa. Harap-harap dia terselamat,” ujar Mona.

Francais Restoran Sari Ratu di Malaysia dimulakan Pak Midi sejak hampir sedekad lalu. Percubaan pertama di negara luar itu adalah berikutan rekod cemerlang empayar perniagaan asal Sari Ratu di Indonesia. Sehingga kini, sudah terdapat lebih 20 buah cawangan Sari Ratu di serata bandar raya Jakarta dan juga di Palembang.

Di Kuala Lumpur, restoran masakan Padang ini boleh dikunjungi di Jalan Sultan Ismail, Ampang dan Kelana Jaya, selain restoran pertama dengan dapur induk di Desa Pandan, Cheras.

Ketika bertanya tentang asal-usul dan identiti masyarakat Minangkabau yang merupakan majoriti penduduk Padang, Pak Midi mengatakan bahawa semua itu bermula daripada kegemilangan tradisi yang mencecah usia ratusan tahun.

“Masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat amat terkenal dan setia pada Adat Pepatihnya. Selain kesantunan budaya dalam kekayaan sejarahnya, masyarakat ini juga terkenal dengan kepakaran memasak,” ujarnya dalam pertemuan dengan Jurnal sebelum ini.

Resipi nasi Padang yang tiada duanya di dunia menjadi kemestian dalam setiap perhimpunan sosial dan keraian bangsa mereka. Selain memenuhi tuntutan selera, masyarakat Minangkabau percaya bahawa makanan adalah salah satu faktor penting untuk merapatkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara dan juga komuniti.

“Suatu ketika dahulu, sejarah perdagangan dan perkahwinan membantu menyebarkan budaya dan entiti Minangkabau ke Semenanjung Tanah Melayu. Para perantau Minang turut membawa bersama adat budaya mereka termasuklah kemahiran dalam masakan.

“Ini yang menjadikan masakan Padang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu Malaysia hingga hari ini. Lagipun, lidah orang Melayu senang menerima rasa yang terkandung dalam masakan Padang,” terang Pak Midi.

Kulinari

Sajian tradisi seperti rendang daging, ulam-ulaman, asam pedas ikan, keli sambal, kalei lembu, belut goreng, pucuk ubi, dan gulai tunjang amat istimewa dalam catatan selera orang Malaysia. Penggunaan daun cekur dalam gulai lemak Padang adalah perisa yang memperjelas ciri kulinari Minangkabau.

Pewaris Minangkabau sudah banyak mengukir nama bukan sahaja di tanah asal sendiri, malah ke seberang laut. Di Singapura misalnya, mantan Presiden pertamanya iaitu Yusof Ishak merupakan orang berdarah Minangkabau. Begitu juga dengan Zubir Said yang mencipta lagu kebangsaan republik itu, Majulah Singapura.

Di Malaysia, antara yang berdarah Minang ialah mantan Menteri Sukan dan Kebudayaan dan sejarahwan sekitar tahun 1970-an, Tan Sri Abdul Samad Idris, dan juga wira Perang Dunia Kedua, Leftenan Adnan Saidi.

Jika diteliti, sebutan bahasa Minangkabau mempunyai penutur ‘kembar’ di kalangan orang Melayu Negeri Sembilan yang rata-ratanya mempunyai pertalian saudara dengan kelompok Minangkabau.

Daripada apa yang telah berlaku dalam minggu ini, jelas sekali bukan setakat bahasa, adat budaya dan makanan yang membuatkan rakyat Malaysia dekat dengan keistimewaan Padang khususnya dan Indonesia amnya.

Tragedi goncangan bumi itu membuatkan rakyat Malaysia semakin dekat dengan Padang kerana turut terasa akan kesedihan dan penderitaan, seterusnya mencetus panggilan kemanusiaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

1 comment:

alqoimkaltim said...

semoga bencana alam ini tidak semakin meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...