anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila ada segelintir remaja Islam menyambut Aidilfitri dengan perbuatan ditegah agama iaitu meneguk arak sambil berfoya-foya hingga awal pagi di sebuah kelab malam terkemuka di ibu kota.
Cara sambutan itu yang dilakukan bersama ratusan pengunjung bagaimanapun terhenti separuh jalan selepas pusat hiburan terbabit diserbu polis, awal pagi semalam.
Dalam operasi itu, 48 anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, menyerbu pusat hiburan berkenaan yang terletak di Cheras, di sini, jam 12.30 pagi.
Ketika serbuan itu rata-rata pengunjung yang kebanyakannya warga tempatan, termasuk pekerja pusat hiburan itu, rancak menari, dipercayai mabuk dan dipengaruhi dadah.
Ada pengunjung cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya apabila semua laluan keluar, termasuk pintu utama, dikepung polis.
Seramai 137 pengunjung dan pekerja pusat hiburan itu diarah menjalani ujian air kencing bagi mengesan suspek yang mengambil dadah.
Hasilnya, seramai 13 pengunjung didapati positif mengambil dadah sebelum ditahan.
Daripada jumlah berkenaan, tujuh adalah wanita manakala empat daripada enam lelaki yang ditahan adalah pekerja pusat hiburan berkenaan.
Kang berkata, polis yang melakukan siasatan gagal menemui sebarang dadah sintetik yang disembunyikan oleh pengunjung di dalam pusat hiburan berkenaan.
Menurutnya, ada kemungkinan pengunjung yang datang ke pusat hiburan berkenaan terlebih dulu memakan pil atau dadah sintetik ketika ada di luar premis sebelum masuk.
“Taktik berkenaan mungkin dianggap lebih ‘selamat’ berikutan penagih sebelum ini kerap dikenakan hukuman lebih berat jika ditahan bersama dadah yang dibawa.
“Semua 13 suspek yang berusia 19 hingga 40 tahun ditahan mengikut Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000,” katanya.
Beliau berkata, operasi itu sebahagian daripada usaha berterusan pegawai dan anggota polis JSJN Kuala Lumpur bagi mencegah penularan dan pengedaran dadah yang kebelakangan ini meningkat, terutama membabitkan dadah sintetik.
“Kita akan meneruskan operasi bersepadu ini setiap minggu ke beberapa pusat hiburan yang disyaki menjadi tempat persinggahan penagih dadah berfoya-foya dan mencari hiburan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090927113413/Article/index_html
No comments:
Post a Comment