rudy@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Selepas lebih seminggu bertarung nyawa akibat cedera parah di kepala, seorang gadis berusia 17 tahun yang menjadi mangsa ragut akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya, kelmarin.
Tan Shu Fang, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini 2 yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, menemui ajal selepas terjatuh sebaik diragut dua penjenayah bermotosikal berdekatan kediamannya di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, pada 17 September lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berjalan bersama ibunya untuk ke sebuah bank yang terletak berdekatan rumahnya apabila sebuah motosikal dipercayai ditunggang dua lelaki menghampirinya dan meragut beg tangannya, menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk.
Tan yang cedera parah di kepala dikejarkan ke hospital oleh orang ramai dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala ibunya, Leong Akooi, 52, turut cedera ringan.
Gadis malang itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang kelmarin di di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, di sini, selepas koma sejak hari kejadian.
Menurut Leong, dia kehilangan anak yang bijak kerana mendiang antara pelajar pintar di sekolahnya dan sering mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Berkecai harapan saya, dia anak yang bijak dan nyawanya melayang di tangan penjenayah,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Dr Boo Cheng Hau, semalam.
Leong berkata, selepas apa yang menimpa keluarganya, dia berharap penjenayah terbabit ditangkap pihak berkuasa dan menerima hukuman setimpal.
“Saya tidak akan maafkan perbuatan mereka dan berdoa supaya mereka ditangkap dan menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya menjalankan siasatan bagi menjejaki penjenayah terbabit.
“Polis memandang serius jenayah yang ditimbulkan peragut dan kini menjalankan gerakan memburu mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Mokhtar meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi hotline Polis Johor di 07-2212999 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090927113049/Article/index_html
No comments:
Post a Comment