Monday, May 31, 2010

Belajar dan berserah

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/31

SHAH ALAM: “Petua saya mudah. Belajar dan terus belajar. Yang lainnya berserah kepada Tuhan,” kata Dg Noraiana Ag Kadir, 22, pelajar Diploma Sains pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-72 di Dewan Sri Budiman, di sini, semalam.

Anak pesara polis tinggal di Penampang, Sabah itu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91.


Dg Noraiana yang bercita-cita menjadi seorang doktor. Dia dijangka mengikuti pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda perubatan bulan depan.


Ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, dia berkata cita-citanya untuk menjadi seorang doktor menyebabkan dia berusaha bersungguh-sungguh berikutan bidang itu susah selain persaingan sengit. “Setiap semester saya dapat 3.9 ke atas dan cuma semester kelima saja saya dapat 3.75, itu pun kerana banyak tesis yang perlu saya siapkan.


“Kejayaan yang saya capai ini bukan senang. Saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin dan menjadi ‘ulat buku’,” katanya. Dg Noraiana yang juga anak keenam daripada sembilan beradik mengikuti Diploma Sains selama tiga tahun bermula tahun 2007 di kampus UiTM, Jengka, Pahang.


Dia berkata, lima pelajar terbaik setiap semester dalam bidangnya akan diberi pingat oleh Persatuan Diploma Sains sebagai tanda penghargaan persatuan di atas kejayaan pelajar dalam bidang itu.


Selain itu, Dg Noraiana bersyukur kerana walaupun tinggal berjauhan daripada ahli keluarga, namun mereka kerap berhubung untuk bertanya khabar mengenai pelajaran dan kebajikannya.


“Ketika mula-mula sampai di sini, saya agak kekok untuk menyesuaikan diri, terutama melihat pembangunan pesat di ibu kota.


“Saya terpaksa mengambil masa hampir sebulan untuk menyesuaikan diri di sini dan berterima kasih kepada rakan-rakan ,”
katanya.


Sementara itu, bagi Faezah Che Omar, 23, yang juga mengambil diploma dalam bidang sama menjadikan kemiskinan keluarganya sebagai semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh bagi membantu keluarganya.


“Ayah saya penoreh getah, manakala ibu tanam sayur untuk dijual secara kecil-kecilan di Kuala Berang, Terengganu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belajardanberserah/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...