Monday, May 31, 2010

Hukum ‘bapa ghaib’

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
2010/05/31

KUALA LUMPUR: ‘Bapa ghaib’ kepada bayi yang dibuang sama ada meninggal dunia atau tidak akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang dan akta negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ‘bapa ghaib’ yang menghamilkan gadis tidak akan terlepas dengan tindakan mahkamah.


Beliau memberi amaran kepada ‘bapa ghaib’ tidak bertanggungjawab menghamilkan gadis tetapi melarikan diri dengan meletakkan semua masalah ke atas wanita.


“Kami akan bekerjasama dengan Peguam Negara dan pihak berkuasa untuk mengheret lelaki berkenaan supaya dikenakan tindakan wajar bukan hanya memberi hukuman kepada ibu bayi yang dibuang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak-anak Yatim, orphanCare, Kuala Lumpur, di sini, yang dirasmikan Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom. Hadir sama, Presiden orphanCare, Datuk Adnan Mohd Tahir.


Shahrizat berkata, punca utama terjadinya kes pembuangan bayi dan bayi luar nikah kerana sikap ibu bapa serta masyarakat sibuk dengan urusan seharian tanpa menghiraukan anak mereka.


Kes ini menunjukkan peningkatan, iaitu bagi tempoh lima tahun dari 2006 hingga 2009 sebanyak 407 kes pembuangan bayi dilaporkan pihak berkuasa.


Manakala dari Januari hingga April lalu, sebanyak 24 kes berlaku kerana masih tiada kesedaran kalangan masyarakat mengenai bahaya kes berkenaan.


Katanya, kes itu semakin serius kerana komuniti masih tidak menghiraukan remaja apabila masing-masing sibuk dengan urusan harian.


Menurutnya, untuk mengelakkan ia daripada berterusan, pelbagai pihak tampil termasuk kerajaan dan swasta yang mengadakan program komuniti “Kami kini mempunyai lebih 100 badan termasuk institusi sinar kasih, 55 klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang boleh menyelesaikan masalah dihadapi.


“Institusi ini boleh membantu remaja bermasalah daripada melakukan tindakan salah termasuk membuang bayi tidak berdosa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, orphanCare memberi peluang ibu bapa tidak mahukan bayi mereka meletak di rumah itu untuk memberi masa depan lebih baik.


“Kami bukan menggalakkan anak luar nikah tetapi hanya untuk membantu bayi tidak bersalah supaya mempunyai masa depan lebih cerah bersama keluarga angkat.


“Kami mahu komuniti mengambil berat masalah dihadapi remaja supaya kes berkenaan tidak akan berlaku pada masa akan datang,” katanya yang turut menyumbangkan RM100,000 bagi keperluan bayi yang berada di sana. Manakala, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom menyumbangkan RM10,000.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...