Monday, May 31, 2010

Terap unsur keagamaan dalam majlis keraian

2010/05/31

KUALA LUMPUR: Budaya keraian seperti sambutan tahun baru dan majlis hari keluarga bagi umat Islam di negara ini perlu diubah dengan menerap dan menyelitkan unsur keagamaan termasuk doa selamat, tazkirah, sembahyang sunat dan sesi tahlil bagi menguatkan jiwa generasi muda supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu menyesatkan.

Penceramah terkemuka, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, jiwa anak muda yang kosong tanpa pengisian agama termasuk kejahilan ibu bapa dalam membesarkan anak menyebabkan generasi masa kini mudah terpengaruh dengan ajakan rakan yang sudah terpesong, selain pengaruh media dan Internet.


Beliau berkata, pendekatan unsur keagamaan termasuk menerapkannya dalam majlis yang sering dianjurkan seperti sambutan tahun baru serta hari keluarga mampu memberi suntikan positif kepada generasi muda berbanding jika mereka terdedah kepada sambutan ala Barat.


Selain itu, katanya, kebanyakan ibu bapa gagal mendidik anak mengikut tahap umur bersesuaian kerana tiada ilmu selain terlalu sibuk dengan pekerjaan.


Dr Mohd Fadzilah merujuk laporan Metro Ahad semalam mengenai kegiatan tiga remaja di negeri berlainan yang sanggup dibayar serendah RM5 atau diumpan syabu berikutan ketagihan seks selain alasan mendapatkan wang saku.


“Kasih sayang saja tidak cukup dan anak tidak boleh dibiasakan menerusi kemewahan tanpa diseimbangkan dengan didikan bersepadu dari semua segi.


“Apabila pengaruh ibu bapa lemah, maka anak akan mudah terpengaruh dengan unsur luar yang negatif seperti ajakan rakan, pengaruh media dan Internet.


“Ulama berkata, hancurnya anak muda masa kini disebabkan tiang serinya yang rosak. Yang dimaksudkan tiang seri itu ialah kepemimpinan ibu bapa, masyarakat dan negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, remaja yang sudah terjerumus ke dalam kancah maksiat termasuk seks bebas akan mula ketagih tetapi mereka boleh dibimbing dengan cara mengajak mereka bersembahyang taubat dan mengajar mereka mengangkat tangan berdoa minta dijauhkan daripada maksiat setiap kali mempunyai keinginan untuk melakukan perbuatan itu.


Laporan semalam mendedahkan tiga remaja perempuan itu sanggup membiarkan tubuh dijamah lelaki asalkan apa yang dihajati dapat dipenuhi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terapunsurkeagamaandalammajliskeraian/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...