AMPANG: Kerana tidak berpuas hati dengan isterinya, seorang lelaki bertindak luar dugaan apabila membelasah wanita terbabit bertubi-tubi ketika berada di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, Rabu lalu.
Mangsa yang juga seorang guru ditumbuk tanpa belas kasihan dan kejadian terbabit berlaku dari luar mahkamah hingga ke dalam mahkamah, dan turut disaksikan peguam serta bapa mentuanya.
Malah, lelaki berkenaan biadab apabila turut mengugut bapa mentuanya yang mahu menolong anak perempuannya yang ketika itu dibelasah.
Bagaimanapun, ‘drama’ aksi ganas itu berakhir tidak lama kemudian apabila polis menahan lelaki terbabit selepas menerima panggilan kakitangan mahkamah berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 9.15 pagi ketika pasangan itu di mahkamah berkenaan menyelesaikan proses perceraian mereka.
“Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang ketika itu berada dalam mahkamah keluar sebelum isterinya yang ternampak kelibat lelaki terbabit cuba melarikan diri.
“Namun, suaminya itu terus mengejar dan sebaik menghampiri wanita itu dia melepaskan tumbukan bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, bapa mentua lelaki terbabit turut campur tangan, namun dia diugut mendapat habuan sama dengan anak perempuannya membuatkan bapa mentua hanya mampu mendiamkan diri.
“Mujur seorang rakan mangsa membantunya sebelum wanita terbabit melarikan diri dengan masuk dalam mahkamah.
“Sejurus masuk ke mahkamah, wanita terbabit duduk berhampiran peguamnya kerana terlalu takut melihat kelakuan ganas lelaki terbabit,” katanya.
Menurutnya, sangkaan wanita yang dia akan lebih selamat ketika berada dalam mahkamah ternyata meleset apabila suaminya yang masih tidak berpuas hati terus menghampirinya.
“Sejurus menghampiri mangsa dan juga peguamnya, lelaki terbabit melepaskan beberapa tumbukan lagi yang terkena kepala wanita terbabit.
“Mangsa kemudian diminta peguamnya itu masuk ke sebuah bilik untuk mengelak daripada dibelasah sementara beberapa orang cuba mengawal lelaki berkenaan,” katanya.
Sumber terbabit berkata, kakitangan mahkamah terpaksa menghubungi polis disebabkan tindakan ganas lelaki terbabit yang mencetuskan huru-hara di mahkamah sebelum ditahan.
“Berikutan dipukul, mangsa mengalami beberapa kecederaan di muka serta matanya lebam selain kesakitan di leher,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan wanita itu.
Menurutnya, lelaki berusia 38 tahun ditahan, namun dia dibebaskan kelmarin selepas siasatan dan segala keterangannya diambil. “Kami menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukulisterituntutcerai/Article
No comments:
Post a Comment