Saturday, May 29, 2010

Curi duit masjid

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2010/05/29

TEMERLOH: Akibat terdesak mendapatkan wang bagi membeli lampin pakai buang untuk anak yang baru dilahirkan, seorang bapa nekad mencuri wang tabung di Masjid Kampung Mempatih, Lanchang, dekat sini, sebelum diberkas polis, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, bapa berusia 32 tahun itu yang tinggal di Taman Amalina, Raub, gagal melarikan diri selepas menyedari kehadiran dua anggota polis.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki terbabit sebelum itu mengakui mencuri RM130 milik Masjid Bukit Damar, dekat sini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, lelaki berkenaan yang tidak bekerja menunggang motosikal dari Raub menghala ke rumah saudaranya di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, dekat sini, dengan niat mahu meminjam wang.


Bagaimanapun, katanya, lelaki terbabit kemudian berhenti di sebuah warung di Bukit Damar, dekat sini, untuk minum sebelum meronda di sekitar kawasan perkampungan berkenaan.


Ahmad Fadzillah berkata, siasatan turut mendapati, lelaki terbabit yang bersenjatakan gergaji besi kemudian berhenti di Masjid Bukit Damar sebelum memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang sebanyak RM130.


“Selepas mengambil wang itu, lelaki berkenaan menghala pula ke Masjid Kampung Mempatih dengan mempunyai niat yang sama.


“Di situ, lelaki terbabit cuba memotong ‘telinga’ tabung untuk mencuri wang namun gagal selepas perbuatannya disedari penduduk kampung yang kemudian bertindak menghubungi polis,”
katanya.


Menurutnya, lelaki terbabit yang tidak mempunyai rekod jenayah mendakwa baru berkahwin dengan seorang ibu tunggal serta mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan.


Katanya, lelaki terbabit mendakwa tidak mempunyai wang untuk membeli lampin pakai buang untuk anaknya sebelum nekad mencuri wang masjid.


Ahmad Fadzillah berkata, lelaki itu kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Harian Metro difahamkan dakwaan lelaki berkenaan adalah benar kerana selepas menjalankan soal siasat, polis mendapati dia baru saja memperoleh cahaya mata dan bayi berkenaan anak ketiganya selepas mereka dikurniakan dua lagi anak sebelum ini.


Isterinya yang berusia lewat 30-an kini masih dalam pantang dan dimaklumkan mengenai penahanan suaminya itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Curiduitmasjid/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...