Saturday, May 29, 2010

Sah mati didera

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Apendy Issahak

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Kematian mengejut seorang bayi yang didakwa pengasuh berpunca akibat tersedak susu akhirnya membongkar perkara sebenar apabila mangsa yang berusia tiga bulan disahkan mati akibat dipukul dan didera hingga mati.

Difahamkan pengasuh wanita terbabit cuba untuk menyembunyikan perbuatan dilakukan dengan mencipta alasan rapuh terbabit hanya selepas beberapa bulan dihantar oleh ibu dan bapa bayi lelaki itu untuk dijaga.


Sumber polis berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi Rabu lalu, mangsa Mohd Hamzah Hafiz Abdullah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui tidak bernafas oleh pengasuhnya di rumah di Jalan Sulaiman 1, di sini.


Difahamkan pengasuh bayi berkenaan yang panik memberitahu apa yang berlaku kepada ibu mangsa yang ketika itu sedang berniaga di bahagian bawah premis dua tingkat berkenaan. “Pengasuh terbabit memberitahu kononnya mangsa tiba-tiba tidak bernafas selepas diberi minum susu olehnya. “Selepas dimaklumkan kejadian itu, ibu mangsa berusia 29 tahun dikatakan terus membawa Mohd Hamzah ke HKL untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Malangnya bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 petang kelmarin,” katanya.


Sementara itu, bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 20-an, berkata, dia terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka anaknya mati akibat didera pengasuh.


“Mulanya saya menyangka ia akibat komplikasi tersedak susu, namun laporan bedah siasat mendapati anak saya itu mati akibat didera dengan kesan lebam di perut dan anggota lain,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan awal polis mendapati terdapat unsur jenayah dalam kes kematian bayi terbabit.


“Berdasarkan laporan bedah siasat, kita (polis) percaya bayi itu meninggal dunia akibat didera, namun siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian.


“Difahamkan, mangsa mati akibat kecederaan dalaman dan polis akan memanggil pengasuh serta ibu bapa mangsa untuk direkod keterangan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sahmatididera/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...