2010/05/29
KEMAMAN: Layanan buruk pengurusan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Tasik Chini, Pahang, terhadap seorang bapa yang ingin menuntut bayaran insurans anaknya kerana patah jari telunjuk tangan kanan pada Januari lalu dianggap tidak wajar serta memalukannya.
Selain itu, Ismail Gumati Omar, 49, dari Kampung Mak Lagam, dekat sini, juga mempertikaikan keputusan pengurusan PLKN itu yang enggan membayar pampasan insurans yang sepatutnya diperoleh anaknya kerana kecederaan itu dikelaskan sebagai kecederaan separuh kekal seperti tercatat dalam kontrak disediakan sebelum mendaftar diri ke pusat berkenaan awal tahun ini.
“Jika dikaji kontrak yang diberikan kepada ahli keluarga itu, anak saya sepatutnya mendapat pampasan RM15,000, tetapi pihak PLKN mendakwa anak saya tidak layak memperolehnya dengan alasan kononnya ia tidak tertakluk dalam tanggungjawab PLKN walaupun kejadian itu berlaku di kem.
“Paling mendukacitakan, pihak berkenaan langsung tidak prihatin dengan kecederaan yang dialami anak, selepas saja mengarahkan anak pulang ke rumah, pihak mereka langsung tidak bertanya khabar, malah ketika saya cuba bertanyakan tuntutan insurans, mereka hanya sekali menjawab panggilan saya dan seakan-akan cuba mengelak apabila dihubungi selepas itu.
“Apa tidaknya, berpuluh-puluh kali saya menghubungi pusat PLKN itu untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai tuntutan insurans, tetapi tidak dilayan, malah mereka enggan memberikan ulasan terperinci mengenai faktor yang menyebabkan anak saya tidak layak menerimanya,” katanya, semalam.
Menceritakan bagaimana kemalangan itu terjadi kepada anaknya, Ismail berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang selepas menjalani latihan, anaknya, Mohammad Zuhaimi, 18, berlatih lompat bintang (PT 10) di dalam asramanya sebelum jari telunjuk tangan kanannya terkena kipas siling.
“Akibat kejadian itu, jari tangan kanannya bengkak sebelum diperiksa kakitangan perubatan di kem dan mendakwa ia hanya luka kecil dan tidak serius, bagaimanapun menjelang malam jari dia semakin membengkak dan kebiruan.
“Cemas melihat jari anak begitu, jurulatih PLKN membawanya ke Hospital Pekan sebelum disahkan patah selepas membuat X-ray. Sehubungan itu, pihak PLKN terus menghubungi saya dan meminta saya mengambilnya untuk dibawa pulang,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ManaRM15_000_/Article
No comments:
Post a Comment