2010/05/29
GEORGETOWN: Demi cinta, seorang remaja perempuan sanggup menceroboh keluar dari asrama sekolahnya untuk bersama teman lelaki sebelum mereka ditahan di sebuah rumah tumpangan di Seberang Jaya di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kira-kira jam 4.40 pagi, semalam, remaja berusia 17 tahun itu ditemui di bilik air dalam keadaan berkemban.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, berkata pihaknya difahamkan remaja berkenaan dipercayai keluar dari asramanya untuk bersama teman lelaki yang dikenali dua bulan lalu kira-kira jam 6 petang sebelum pasangan itu mengambil keputusan bermalam di rumah tumpangan itu pada jam 10 malam untuk bermadu kasih.
Menurutnya, remaja berkenaan mengaku sering bertemu teman lelakinya untuk melepaskan rindu meskipun bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pakaian seragam milik remaja berkenaan disimpan dalam beg dan mereka ditemui dalam sebuah bilik di sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai milik satu keluarga yang mengubahsuainya menjadi rumah tumpangan.
“Siasatan lanjut mendapati, rumah itu mempunyai beberapa bilik lengkap alat penyaman udara, katil dan set televisyen yang disewakan pada harga RM30 hingga RM50 semalam,” katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.
Khairul berkata, rumah tumpangan itu turut menawarkan bilik mengikut kadar jam dan siasatan mendapati kira-kira 60 pelanggan beragama Islam dan bukan Islam menginap dalam masa sebulan.
Katanya, pihaknya juga menemui 10 lagi pasangan lain yang ditahan atas kesalahan berkhalwat di tiga lokasi berasingan iaitu di Bukit Berapit, Seberang Jaya dan Taman Bagan dalam operasi yang dijalankan dari jam 2.30 pagi hingga 8 pagi itu.
Katanya, lima pasangan kekasih yang berkelakuan kurang sopan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, Pantai Bersih dan Taman Robina turut ditahan dalam ‘Ops Maksiat’ membabitkan 19 pegawai penguat kuasa agama.
Beliau berkata, semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 40 tahun dan terdiri daripada pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT), duda, janda atau ibu tunggal malah ada pasangan sudah mempunyai suami atau isteri.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kantoidirumahtumpangan/Article
No comments:
Post a Comment