Saturday, May 29, 2010

Kejar kebendaan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Semakin ramai pasangan beragama Islam di negara ini memilih perceraian sebagai jalan penyelesaian masalah rumah tangga mereka, mengikut statistik terbaru dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merangkumi tempoh lapan sehingga 2008 lalu.

Statistik itu, menunjukkan Selangor mencatat jumlah kes pasangan beragama Islam bercerai tertinggi dengan seramai 3,558 pada 2008.


Wilayah Persekutuan Labuan pula menunjukkan kadar perceraian pasangan Islam paling rendah iaitu 114 orang walaupun ia tetap satu peningkatan berbanding lapan tahun sebelumnya iaitu membabitkan 40 orang saja.


Mengikut statistik itu, semua negeri menunjukkan peningkatan membimbangkan bagi kadar perceraian pasangan Islam apabila jumlah kes semakin meningkat dari 13,536 pada 2000 kepada 22,289 kes pada 2008.


Selain Selangor, negeri yang mencatatkan kadar kes perceraian tertinggi ialah Kedah dengan 2,407 kes, diikuti Johor (2,329), Kelantan (2,266), Perak (1,951), Pahang (1,719), Kuala Lumpur (1,444), Terengganu (1,341), Sarawak (1,076), Negeri Sembilan (1,054), Pulau Pinang (937), Melaka (889), Sabah (746) dan Perlis (458).


Penceramah bebas, Mohd Zawawi Yusoh berkata, kadar perceraian meningkat bagi pasangan Islam menunjukkan perkahwinan berasaskan agama disaran Islam kian terhakis tetapi kini asas bersifat kebendaan.


Beliau berkata, kehidupan berumah tangga pasangan Islam tidak disertakan pengabdian kepada Allah dengan menunaikan perkara wajib seperti solat lima waktu, tiada keberkatan seterusnya menghakis perasaan sayang hingga timbul benci dalam hati masing-masing.


“Dalam hadis dan ayat al-Quran sendiri ada menyebut satu daripada punca perceraian ialah tidak menunaikan solat. Jika kita tidak menjaga hubungan dengan Allah, maka hubungan kita sesama manusia juga akan menemui masalah.


“Sekarang ini, sudah menjadi trend ramai yang berkahwin kerana kebendaan contohnya apabila kahwin minta mas kahwin yang tinggi dan majlis besar-besaran, semuanya atas kebendaan sehingga jiwa mereka ini tidak tahan diuji, lalu ikatan perkahwinan yang dibina seumpama timbunan pasir yang basah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, selain tidak menunaikan solat, sikap curang di kalangan pasangan juga merupakan antara punca utama sistem perkahwinan runtuh kerana tidak menjaga kehidupan berumah tangga yang sangat dititikberatkan Islam seperti disaran hadis nabi yang menyebut “jika kamu menjaga Allah, Allah menjaga kamu.”

Katanya, pemikiran dipengaruhi budaya Barat yang antaranya mengamalkan perkahwinan terbuka iaitu pasangan bebas bercinta dengan orang lain juga dibimbangi mula meresap dalam sanubari masyarakat Islam, selain ramai yang mengikut trend tidak mahu terikat dengan komitmen.


“Lebih teruk, ada pula trend berkahwin semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri yang kononnya lebih mahal berbanding anak dara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejarkebendaan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...