Saturday, May 29, 2010

Teksi dua setan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/05/29

KUALA LUMPUR: Seorang abang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan adik perempuannya daripada dicabul seorang individu dalam sebuah teksi selepas dia diugut dengan senjata tajam jika melawan, semalam.

TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
TUMPAS...kedua-dua suspek yang ditahan.
Tidak cukup dengan itu, mangsa juga dijadikan tebusan hampir sejam kerana gagal membayar wang diminta kedua-dua suspek didalangi pemandu teksi terbabit sebelum diselamatkan sekumpulan anggota polis yang meronda di kawasan berkenaan.


Kejadian bermula kira-kira jam 9 pagi semalam, apabila kedua-dua beradik terbabit menahan sebuah teksi di ibu kota sebelum memberitahu pemandunya untuk ke sebuah pasar raya berhampiran kawasan berkenaan.


Menurut sumber, sebaik memasuki teksi itu, ‘pemandu teksi setan’ berusia lewat 30-an terbabit mengunci kenderaannya sebelum memecut meninggalkan kawasan berkenaan.


Selepas lebih 10 minit perjalanan, kedua-dua mangsa mempersoalkan tindakan pemandu teksi itu yang membawa mereka bukan ke destinasi diminta.


Sumber berkata, pemandu teksi itu dengan bersahaja mendakwa terpaksa mengambil lagi seorang pelanggannya dan berjanji akan menghantar mereka ke pasar raya berkenaan selepas menjemputnya.


“Pemandu teksi itu melalui lebuh raya menuju Klang, sebelum berhenti di bahu jalan menjemput ‘pelanggannya’,” katanya.


Difahamkan, pelanggan yang dikatakan pemandu teksi terbabit adalah rakannya yang sudah melakukan kerja kotor itu bersama sejak beberapa bulan lalu.


Sumber berkata, lelaki terbabit memasuki kenderaan itu sebelum duduk di belakang bersama kedua-dua beradik berkenaan.


“Sebaik kenderaan bergerak, suspek mengeluarkan senjata tajam sebelum mengarahkan kedua-dua mangsa menyerahkan wang tunai.


“Mangsa meminta pertolongan pemandu teksi itu sebelum lelaki terbabit memberitahu suspek rakannya.

“Selepas menyedari mereka tiada pilihan, mangsa memberikan RM190 kepada suspek sebelum meminta mereka dibebaskan,” katanya.


Disebabkan tidak berpuas hati dengan jumlah wang diperoleh, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan RM5,000.


Difahamkan, suspek mengugut akan merogol dan mencederakan adik perempuan mangsa jika dia gagal berbuat demikian.


Tersentak dengan itu, mangsa mendakwa akan menyerahkan wang terbabit kepada kedua-dua suspek dan meminta untuk mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Sumber berkata, pemandu teksi itu berhenti di sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan sebelum mengarahkan abang mangsa mengeluarkan wang.


“Abang mangsa mengeluarkan RM300 sebelum menyerahkan kepada suspek. Dia berulang kali merayu supaya dilepaskan namun kedua-dua suspek tidak mengendahkannya.


“Malah, suspek yang tidak berpuas hati dengan kejam mencabul adik perempuan mangsa di depannya sebaik meninggalkan stesen minyak berkenaan,”
katanya.


Sumber berkata, ketika itu abang mangsa hanya mampu menahan kemarahannya kerana bimbang keselamatan diri dan adiknya terancam.


Bagaimanapun, pasangan adik-beradik itu bernasib baik kerana ketika melalui Tol Batu 3, dekat sini, abang mangsa melihat sebuah kereta peronda sebelum melambaikan tangan meminta pertolongan.


Sekumpulan anggota yang menyaksikan kejadian itu mengejar teksi terbabit sebelum menahan kedua-dua suspek.


Pasangan adik-beradik itu dibawa ke Balai Polis Bukit Jelutong, dekat sini, sebelum mereka berdua membuat laporan kejadian terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Teksiduasetan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...