Thursday, June 17, 2010

Berebut wanita

Oleh Yahya Awang
am@hmetro.com.my
2010/06/17

TAIPING: Gara-gara berebut dua wanita warga asing, dua lelaki sanggup bertumbuk dan bergaduh di khalayak ramai di sebuah kedai makan di sini sehingga salah seorang daripadanya mengalami kecederaan teruk di muka akibat di simbah sup panas.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada 8 Jun lalu di Medan Selera Taman Tasik itu, seorang lelaki berusia 32 tahun mengalami kecederaan serius di muka akibat melecur teruk disimbah sup panas oleh seorang lelaki berusia 45 tahun selepas kedua-dua mereka bertengkar. Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan sebelum menjalani rawatan lanjut di sebuah klinik swasta.


Beliau berkata, sejurus selepas kejadian, mangsa membuat laporan polis sebelum gerakan memburu suspek dilakukan.


“Selang lima hari selepas kejadian, suspek menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi membantu siasatan.


“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun atau denda tidak melebihi RM4,000,”
katanya ketika ditemui semalam.


Yusuf berkata, pergaduhan kedua-dua lelaki berkenaan dipercayai berpunca kerana berebut dua wanita warga asing berusia 20-an.


Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua wanita warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan sah. Bagaimanapun, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Berebutwanita/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...