Thursday, June 17, 2010

Penagih Melayu pilih ganja

2010/06/17

JOHOR BAHRU: Berdasarkan gaya semasa, remaja Melayu gemar mengambil dadah murah seperti ganja manakala remaja Tionghua pula lebih menumpukan untuk mendapatkan dadah mahal termasuk syabu dan pil.

Selain itu, remaja Melayu juga gemar menghisap ganja di lokasi di mana ia diperoleh tidak seperti remaja Tionghua yang kebiasaannya melakukannya di premis hiburan.


Berdasarkan pasaran semasa, ganja dianggarkan berharga RM10 sepaket manakala dadah jenis pil dan syabu pula mencecah puluhan hingga ratusan ringgit.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Kamaruddin Abdul Aziz ketika mendedahkan perkara itu mengatakan gaya semasa itu diperoleh hasil serbuan dan juga tangkapan dibuat sebelum ini.


“Ganja murah dan mudah diperoleh, tetapi syabu serta dadah jenis pil mahal selain sedikit sukar untuk mendapatkannya. Kajian berkaitan gaya semasa itu pula kami kumpulkan hasil daripada serbuan di lokasi penagihan. “Walaupun berbeza dari segi harga, bila disebut saja dadah, ia tetap bahaya. Oleh itu, kami harap masyarakat khasnya remaja, tanpa mengira kaum menjauhkan diri daripadanya,” katanya, di sini, semalam.


Berkaitan kejayaan keseluruhan JSJN Johor sepanjang enam bulan tahun ini, Kamaruddin memaklumkan jumlah terbesar dadah dirampas ialah pada Khamis dan Jumaat lalu dengan nilai RM2.3 juta.


Berdasarkan statistik, sepanjang Januari hingga 13 Jun lalu, JSJN Johor merampas dadah bernilai RM4.53 juta membabitkan Ketamin, Ecstacy juga serbuknya, Eramin 5, Psikotropik, Domicum, heroin, ganja, syabu, ubat batuk, air serta daun ketum.


“Pecahan itu membabitkan 17 kilogram (kg) Ketamin, heroin (18kg), ganja (25kg), syabu (tiga kg) dan serbuk Ecstacy (sembilan kg). “Dadah jenis pil pula membabitkan Eramin 5 sebanyak 21,800, Ecstacy (20,966), Psikotropik (7,298) dan Domicum sebanyak 8,212. “Ubat batuk membabitkan 32.7 liter, air ketum (dua liter) dan daun ketum sebanyak tujuh kilogram,” katanya.


Selain dadah, JSJN juga membuat tangkapan membabitkan 335 pengedar dadah. Daripada jumlah itu, 194 disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Menurut Kamaruddin, jumlah keseluruhan tangkapan pula ialah 4,380 dengan 3,015 daripadanya ditahan untuk siasatan lanjut. Dalam masa sama, 83 tangkapan turut dibuat terhadap pengedar dadah mengikut Seksyen 3(1) ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.


“Seramai 17,043 individu diperiksa membabitkan kes penagihan dadah dan daripada jumlah itu, 6,905 didapati positif,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PenagihMelayupilihganja/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...