Thursday, June 17, 2010

Model auta

Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin
am@hmetro.com.my
2010/06/17

GEORGETOWN: Bermodalkan gambar seorang wanita yang kononnya model di laman sosial Facebook, satu sindiket didalangi lelaki warga asing dipercayai mengaut keuntungan ribuan ringgit dengan menipu lelaki yang mudah terpikat dengan kata-kata manis model itu.

Bagaimanapun, kelicikan sindiket itu dibongkar selepas seorang mangsa berusia 50 tahun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, baru-baru ini.


Sindiket itu didalangi lelaki warga Nigeria berusia 25 tahun dan ibu tunggal warga tempatan berusia 48 tahun yang menggunakan gambar wanita untuk memikat lelaki sebelum menipu mangsa.


Pengarah SPRM negeri, Datuk Latifah Md Yatim berkata, sindiket itu juga dianggotai anak perempuan dan menantu ibu tunggal berkenaan yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun. Mereka dicekup kira-kira jam 10 pagi di Pulau Pinang, semalam, selepas penahanan pertama di Kuala Lumpur, Mac lalu.

Katanya, mangsa yang juga peniaga berkenalan dengan seorang wanita warga asing mendakwa berasal dari United Kingdom penghujung tahun lalu menerusi Facebook dan hubungan mereka menjadi intim.


Katanya, wanita itu yang mendakwa dirinya model, berjanji menemui mangsa dalam tempoh beberapa bulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


“Pada satu hari, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mendakwa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia dari KLIA, menyatakan teman wanitanya (model di Facebook) ditahan kerana tidak mengisytiharkan wang tunai 50,000 pound (RM300,000) yang dibawa dari luar negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di sini, semalam.


Latifah berkata, mangsa yang sangsi dengan panggilan itu kemudian melaporkan kepada SPRM Mac lalu dan bagi memerangkap sindiket berkenaan, wang tunai RM5,000 sengaja dimasukkan ke dalam akaun pegawai kastam itu seperti diminta.


Bagaimanapun, sehari kemudian, pegawai kastam sama meminta mangsa membayar RM3,000 lagi.


Menurut Latifah, bagi memerangkap sindiket itu, mangsa memaklumkan akaun banknya dibekukan dan wang tunai RM3,000 itu akan diserahkannya sendiri.


“Seperti dirancang, pegawai kami hadir di tempat ditetapkan di Kuala Lumpur bersama mangsa dan akhirnya pasangan itu ditahan Mac lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Modelauta/Article


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...