Thursday, June 17, 2010

Ramlah Ram fail cerai

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetrof.com.my
2010/06/16

KUALA LUMPUR: “Saya akui kami dalam proses perceraian. Sebenarnya sudah puas saya mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama suami (Kamal Roslim) sejak 10 tahun lalu namun apakan daya kami tidak sefahaman lagi dan tanpa sefahaman kami tidak boleh hidup bersama.

“Jadi keputusan terbaik adalah berpisah. Justeru, baru-baru ini kami sepakat berpisah cara baik dan sudahpun memfailkan perceraian,” akui Ramlah Ram.

Walaupun agak lama mendengar khabar angin mengatakan penyanyi berusia 45 tahun itu tidak tinggal sebumbung lagi dengan suaminya, namun baru sekarang Ramlah mengaku dia dan suaminya di ambang perceraian.

“Selama ini saya berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga kami, tetapi gagal juga akhirnya. Bagaimanapun, hubungan saya dengan Roslin masih lagi macam biasa. Sebelum ini pun saya tidak pernah beritahu yang saya pernah bergaduh dengannya.

“Saya sayangkan perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka dan jika ada masalah, saya akan cuba menyelesaikannya dengan cara baik, tetapi kalau sudah tidak boleh, hendak buat macam mana. Apakah punca sebenar perceraian kami tidak perlu saya bagi tahu tetapi mestilah ada masalahnya.


“Jika kami bercerai secara rasmi nanti saya berjanji akan beritahu pada media. Pun begitu apa saja yang terjadi kepada rumah tangga saya nanti, tolonglah hormati hak peribadi saya,” katanya.

Tambah Ramlah, mereka pernah menghadiri sesi kaunseling, tetapi gagal memulihkan hubungan.

“Sesiapapun yang berkahwin mengharapkan perkahwinan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat dan begitu juga saya. Tetapi jika sudah tidak dapat hidup bersama lagi, apakan daya saya.

“Saya boleh menerima apa yang berlaku kerana saya sudah cuba mempertahankannya. Jika perceraian ini berlaku juga, saya tidak menyalahkan sesiapa kerana sebagai manusia saya pun bukanlah terlalu sempurna. Lagipun saya berkahwin dengan orang yang saya sayang,” katanya selepas sidang media Majlis Malam Gala 25 Tahun Ramlah di Restoran Rebung, semalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...