Thursday, June 17, 2010

Serangan cemburu

Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Khairulmizan Yahya
fauzie@hmetro.com.my
2010/06/17

KUANTAN: Seorang wanita bukan sekadar parah akibat tangannya ditetak dengan parang, malah bakal menderita sepanjang hayat akibat disimbah asid oleh suami yang menuduhnya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

NASIB...Kalliyammah menerima rawatan di HTAA, Kuantan.
NASIB...Kalliyammah menerima rawatan di HTAA, Kuantan.
Dalam kejadian di sebuah estet di Kemasul, Bera, dekat Temerloh, kira-kira jam 7 pagi kelmarin, P Kaliyammah, 22, parah di kedua-dua tangan apabila cuba menahan tetakan parang dilibas suaminya yang berusia 32 tahun dan didakwa panas baran serta kaki botol dan penagih ganja.

Menurut mangsa, kejadian berlaku di tepi jalan ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari pejabat pengurusan estet berdekatan rumah kakaknya selepas memohon cuti kerana hendak bersembahyang di kuil.

“Ketika itu suami menyerang dan menghambur kata-kata kesat dengan menuduh saya tidur dengan lelaki lain selepas sebulan saya tak pulang ke rumah,” katanya ditemui di Unit Kebakaran Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Suami Kaliyammah yang ketika itu dalam keadaan mabuk didakwa bertindak ganas dengan menyimbah cuka getah ke arahnya dan terkena anggota badan dari pinggang ke bawah ketika mereka bertengkar.

“Saya menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri, tetapi dia yang masih tidak puas hati, cuba menetak saya dengan parang. Saya cuba menahan tetakan itu menyebabkan kedua-dua tangan saya cedera.

“Dalam keadaan kesakitan dan separuh bogel selepas pakaian terkena simbahan asid, saya berusaha melarikan diri ke rumah kakak yang terletak berhampiran sambil dikejar suami dengan parang,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah di estet berkenaan.

Kaliyammah bersyukur kerana sempat diselamatkan kakaknya dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Triang, dekat Bera, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, berikutan kecederaannya serius, wanita itu dipindahkan ke Unit Kebakaran HTAA, Kuantan, pada hari sama.

Menurut Kaliyammah, suaminya yang bekerja sebagai tukang cat, panas baran dan selalu memukulnya.

“Malah, dia juga kaki botol dan sering memarahi dan memukul saya tanpa sebab munasabah,” katanya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, selepas kejadian berkenaan, hatinya tawar untuk terus bersuamikan lelaki itu dan bertekad mahu bercerai.

Kakak sulung mangsa, P Murugammal, 36, berkata dia terkejut menyaksikan kejadian itu dan nekad menyelamatkan Kaliyammah dengan menjerit meminta bantuan orang ramai walaupun adik iparnya mengejar adiknya dengan parang.

Menurutnya, Kaliyammah yang tinggal bersamanya di estet itu tidak pernah curang atau melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain seperti dituduh suaminya, tetapi enggan pulang ke rumah kerana sering memukulnya.

“Mereka sudah empat tahun kahwin dan mempunyai dua anak lelaki berusia empat tahun dan enam bulan, tapi meninggal dunia kira-kira sebulan lalu akibat masalah jantung.

“Selepas kematian anaknya itu, dia tinggal bersama saya kerana tak tahan dengan sikap suami yang selalu memukulnya dan difahamkan mereka kini dalam proses perceraian.


“Walaupun keluarga kami tidak merestui perkahwinan Kaliyammah dengan lelaki itu, demi kebaikan mereka, kami pernah menasihatkan lelaki terbabit berubah sikap dan saya tak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asistan Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, lelaki terbabit yang turut cedera di perut, dada dan tangan kanan akibat terkena asid yang disimbahnya, kini dirawat di Hoshas.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek dipercayai mabuk dan polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara lelaki itu dengan mangsa.

“Namun, punca sebenar masih dalam siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...