Thursday, June 17, 2010

Lima kematian akibat denggi dalam tempoh tujuh hari

2010/06/16

KUALA LUMPUR: Lima kematian akibat demam denggi dilaporkan dalam tempoh tujuh hari bermula 6 Jun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

.


Beliau berkata, tiga kematian berlaku di Selangor dan masing-masing satu kes di Perak dan Sarawak.


"Empat daripada lima kematian ini berlaku di kawasan wabak denggi dan di kawasan yang tidak bersih serta mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi iaitu antara empat hingga 18 peratus, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Beliau berkata dalam tempoh itu juga sebanyak 891 kes dilaporkan, iaitu peningkatan 77 kes berbanding minggu sebelumnya, menjadikan jumlah terkumpul sehingga kini ialah 21,309 kes berbanding 23,056 bagi tempoh yang sama tahun lepas.


"Walaupun bilangan kes menurun sebanyak lapan peratus pada tahun ini, bilangan kematian meningkat 21 peratus daripada 57 kematian tahun lepas kepada 69 kematian dalam tempoh yang sama tahun ini," katanya.


Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, terdapat 22 kawasan berisiko tinggi yang masih aktif berbanding 24 lokaliti berisiko tinggi pada minggu sebelumnya, melibatkan negeri-negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.


Daripada jumlah itu, 11 kawasan masih mempunyai kadar pembiakan aedes yang tinggi dan hanya empat daripada 22 lokaliti berisiko tinggi melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan itu.


Sementara itu, bagi tempoh yang sama, sejumlah lima kes penyakit chikungunya dilaporkan iaitu tiga dari Sarawak dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah. Jumlah terkumpul kes chikungunya ialah 566 kes berbanding 2,687 kes, penurunan sebanyak 2,121 kes atau 79 peratus untuk tempoh yang sama pada tahun 2009, katanya.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Limakematianakibatdenggidalamtempohtujuhhari/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...