Thursday, June 3, 2010

Cuba tikam

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/06/03

TEMERLOH: Seorang penganggur layak digelar jantan durjana apabila dia enggan bertanggungjawab selepas terlanjur dengan seorang janda anak tiga cuba menikam kekasihnya itu dalam pertengkaran di rumahnya di Semantan, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 25 Mei lalu, mangsa berusia 29 tahun luka di tangan kiri terkena pisau ketika cuba mengelak tikaman. Menambah sengsaranya, dia yang bekerja sebagai penoreh getah turut lebam di muka dan tubuh akibat dibelasah teman lelaki berusia 24 tahun itu.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, suspek bekas mekanik dikatakan bercinta dengan ibu tunggal tiga anak sebelum mereka terlanjur.


Menurutnya, mangsa kemudian menyedari dirinya hamil dua bulan dan menghubungi teman lelakinya untuk memaklumkan perkara itu.


“Bagi menutup kehamilan itu serta bimbang mendapat malu kerana mengandung luar nikah, mangsa meminta suspek mengahwininya.


“Namun, suspek yang tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya itu enggan menikahi mangsa, sebaliknya menuduh mangsa melakukan hubungan seks dengan lelaki lain sehingga hamil,”
katanya, semalam.


Katanya, mangsa yang sedih dengan tindakan kekasihnya itu kemudian mengadu kepada keluarganya dirinya hamil selepas terlanjur sebelum minta mereka berunding dengan suspek.


“Mangsa kemudiannya membawa keluarganya ke rumah suspek kira-kira jam 1 pagi dan menemui lelaki terbabit untuk berbincang termasuk menyegerakan perkahwinan kerana kandungan sudah dua bulan,” katanya.


“Bagaimanapun, suasana bertambah keruh apabila keluarga suspek campur tangan menyebabkan perang mulut antara mereka yang mempertahankan anak masing-masing,” katanya.


Ahmad Fadzillah berkata, ketika kedua-dua keluarga bertengkar suspek masuk ke rumahnya dan mengambil pisau di dapur sebelum mencederakan mangsa.


“Suspek cuba menikam, tetapi mangsa sempat mengelak dan terkena tangannya hingga luka. Masih tidak berpuas hati, suspek juga memukul mangsa bertubi-tubi di depan keluarga masing-masing.

“Walaupun demikian, keluarga masing-masing yang enggan mengalah masih berperang mulut sebelum mangsa lari meninggalkan tempat kejadian,” katanya.


Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Temerloh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...