Thursday, June 3, 2010

Mafia cilik

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my
2010/06/03

IPOH: Demi ‘menyara’ dua mafia cilik di sekolahnya, seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di sini, terpaksa bekerja sampingan mencuci pinggan di sebuah restoran semata-mata mahu mencari wang tambahan sebanyak RM10 untuk diberikan kepada rakan sekolahnya itu setiap hari sejak Mac lalu.

Sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, mangsa bukan saja dibelasah dua pembuli iaitu pelajar tingkatan dua itu, malah pernah dikepung 10 pelajar lain sebelum pesta terajang dilakukan menyebabkan mangsa longlai serta tidak bermaya.


Selain mengutip wang daripada mangsa, dua pelajar berkenaan turut meminta mangsa memasukkan tambah nilai pada nombor telefon bimbit mereka.


Malah, dua pelajar itu pernah merancang untuk menculik ‘olok-olok’ dengan meminta mangsa menipu ibu bapanya bertujuan mendapatkan wang tebusan, bagaimanapun rancangan itu dibatalkan kerana mangsa enggan memberi kerjasama. Dalam insiden buli terbaru yang dihadapi pelajar berkenaan kira-kira jam 1 tengahari pada 27 Mei lalu, mangsa ditendang sebanyak tiga kali di perut dan dipukul di leher sebanyak dua kali oleh dua pelajar itu berhampiran kantin sekolah kerana gagal memberi wang RM10 yang diminta mereka.


Selepas dibelasah dengan teruk, mangsa pulang ke rumah sebelum memaklumkan hal berkenaan kepada ibu bapanya selain mengadu mengalami kesakitan di bahagian perut dan leher.


Bapa mangsa, Goo Seong Vew, 45, berkata, sebaik mengetahui kejadian itu, dia terus membawa anaknya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis berhubung insiden buli yang menimpa anaknya.


Katanya, dia kesal dengan apa yang berlaku terhadap anaknya dan tidak menyangka wujud aktiviti buli yang membimbangkan di sekolah berkenaan.


“Bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal itu, saya menemui pengetua sekolah berkenaan sebanyak tiga kali bagi memaklumkan berhubung kejadian yang menimpa anak saya.


“Saya meminta pihak sekolah menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap dua pelajar yang membuli anak saya itu. Bagaimanapun, sehingga sekarang, pihak sekolah seolah-olah ‘tutup mulut’ dengan apa yang berlaku dan tidak mengambil apa-apa tindakan,”
katanya ketika ditemui semalam.


Selepas insiden 27 Mei lalu, Goo berkata, anaknya takut untuk ke sekolah kerana bimbang dipukul dua pelajar berkenaan sebelum dia dan isterinya, Fong Kah Leong, 32, membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan terperinci dibuat. Katanya, anaknya memaklumkan mula mengenali kumpulan pelajar berkenaan tahun lalu selepas bertemu dengan mereka di sebuah padang permainan berdekatan rumahnya, malah tidak menyangka turut belajar di sekolah sama.


“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa yang berlaku kepadanya sejak mula memasuki sekolah awal tahun ini. Namun, sejak Mac lalu, saya melihat dia mula mengalami perubahan sikap yang ketara dan banyak murung serta jarang bercakap dengan saya dan isteri.

“Selain itu, kami juga bimbang kerana semua wang upah yang diperoleh ketika bekerja mencuci pinggan tidak disimpan dan kami juga tidak menyoalnya ke mana dia membelanjakan duit itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berkenaan dan akan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana seksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mafiacilik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...