Thursday, June 3, 2010

Gempur, rompak 5 minit

2010/06/03

KUALA LUMPUR: Kaedah digunakan mirip operandi ‘gempur dan rompak lima minit’ apabila sekumpulan penjenayah bermotosikal kini bermaharajalela melakukan rompakan dengan menjadikan kedai dan pejabat sebagai sasaran.

Kumpulan penjenayah didalangi warga tempatan ini dianggap berani apabila tidak ragu-ragu melakukan rompakan beramai-ramai menggunakan parang terhadap beberapa sasaran sekitar ibu kota.


Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seorang penjual telefon bimbit berusia 53 tahun di Jalan Loke Yew, di sini menjadi mangsa.


Menurutnya, mangsa yang berada bersama seorang pembantu kedainya terkejut apabila sekumpulan lima hingga 10 lelaki tiba-tiba muncul sebelum menyerangnya.


“Suspek yang semuanya memakai topi keledar tutup penuh muka, kemudian mengeluarkan pisau dan parang sebelum mengugut mangsa supaya tidak melawan.


“Mangsa yang dipaksa menyerahkan semua barang berharga dimiliki kemudian menyerahkan dompet duit kepada salah seorang penjenayah. Suspek yang seolah-olah tidak berpuas hati menumbuk mata dan menendang pembantu kedai itu,”
katanya.


Katanya, mereka beramai-ramai menyelongkar premis itu sebelum mengambil pelbagai telefon bimbit dan barang berharga.


“Kumpulan itu melarikan diri dengan motosikal. Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan pelbagai model telefon bimbit, komputer riba, kamera digital, rantai emas, subang selain wang tunai berjumlah RM30,000,” katanya.


Menurutnya, kes rompakan dengan modus operandi sama turut dilaporkan berlaku kira-kira 15 minit selepas rompakan pertama di sebuah syarikat di Wisma PK-1.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, dua lelaki tidak dikenali bertindak masuk ke pejabat terbabit sebelum mengeluarkan parang dan mengacunya kepada beberapa pekerja yang sedang bertugas di dalamnya.


“Tindakan suspek itu menyebabkan mangsa terkejut dan tidak berani melawan. “Penjenayah kemudian bertindak merampas rantai leher milik kakitangan wanita, telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM130. Penjenayah turut mengambil peti besi syarikat yang tidak menyimpan benda berharga di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian segera melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di luar pejabat terbabit.


“Mangsa yang kerugian kira-kira RM2,000 kemudian segera membuat laporan polis berhubung kejadian rompakan terbabit. Siasatan awal polis mendapati kes rompakan berkenaan dilakukan warga tempatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gempur_rompak5minit/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...