KUALA LUMPUR: Luputnya cinta kepada orang tua mendorong anak gadis melakukan perbuatan terkutuk termasuk mencuri barang kemas ibu dan lari ikut kekasih.
Katanya, remaja yang melakukan perbuatan salah ini tidak ditanam cinta kepada Pencipta dan ibu bapa dengan betul membuatkan mereka hilang pedoman serta tidak boleh berfikir untuk melakukan kebaikan.
“Mereka turut hilang cinta kepada diri kerana lebih sayangkan kekasih demi memuaskan hati orang lain selain nilai diri yang rendah.
“Remaja ini mudah diperalatkan kekasih apabila hilang hormat kepada diri dan ibu bapa hingga menjadi mangsa rogol kekasih, berakhlak rendah seterusnya mengandung luar nikah serta membuang bayi yang tidak berdosa,” katanya ketika dihubungi, Harian Metro, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar ini berkenaan seorang gadis tergamak mencuri barang kemas ibu sebelum menggadainya untuk membeli sebuah motosikal sebagai hadiah buat teman lelaki.
Gadis berusia 17 tahun itu dikatakan mencuri barang kemas dianggarkan bernilai RM13,000 ketika ibunya nyenyak tidur di rumahnya di Taman Bukit Bendera, Mentakab, Khamis lalu.
Robiah berkata, lelaki terbabit juga menunjuk ketidakmampuan kepada kekasih sebagai seorang lelaki dan itu tanda dia tidak boleh menjadi suami yang baik kepada isteri pada masa akan datang.
Katanya, gadis yang baik akan utamakan diri dan keluarga kerana mereka tidak akan lahir tanpa ibu bapa.
Sementara itu, Ketua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Profesor Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim berkata, remaja zaman ini terlalu mengikut nafsu kerana sanggup melakukan perbuatan di luar batasan dengan mencuri barang ibu bapa hingga membuat hati orang tua luluh.
Katanya, mereka tidak matang membuat keputusan dengan mengikut perasaan tanpa memikir kesan pada diri.
“Perbuatan sia-sia itu tidak menjamin kebahagiaan masa depan kerana sanggup melukakan hati orang tua demi kekasih yang belum tentu memberi kebahagiaan,” katanya.
“Kita sedih, pertimbangan tidak matang membuat kerja tak sepatutnya dengan mencuri barang ibu semata-mata membeli motosikal kekasih,” katanya.
Katanya, selain itu, kepincangan keluarga dan masyarakat juga membuat remaja tidak memperoleh ilmu yang cukup untuk tentukan perbuatan baik atau buruk,” katanya.
Beliau berharap remaja wanita jangan ikut perasaan dan berfikir sebelum membuat keputusan sebegitu dengan membaiki diri, belajar baik buruk perkara yang dilakukan bukannya berkorban ke arah keburukan.
No comments:
Post a Comment