KUALA LUMPUR: Seorang pemilik butik kerugian RM27,400 selepas dua kad kredit miliknya dicuri sebelum digunakan dua wanita untuk berbelanja mewah dengan melakukan 15 transaksi dalam 12 jam.
Dalam kejadian Ahad lalu, mangsa meninggalkan dompetnya di dalam kereta yang terlupa dikunci di Taman Rekreasi Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail di sini, sebelum keluar bersenam.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Tong, 31, berkata, dia hanya menyedari dua kad kreditnya dicuri selepas bank menghubungi untuk meminta pengesahan transaksi yang dibuat.
“Selepas bersenam, saya menyedari kereta saya tidak berkunci, malah dompet saya juga seolah-olah sudah diceroboh. Bagaimanapun, selepas memeriksanya, wang saya tidak hilang.
“Hati saya lega dan langsung tidak mengesyaki apa-apa. Saya menganggap mungkin terlupa mengunci kereta. Lagipun, penggera kereta tidak berbunyi,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan mengenai kejadian itu kepada Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA di sini, semalam.
Katanya, jam 4 petang hari sama, dia menerima panggilan daripada bank untuk meminta pengesahan 15 transaksi kad kreditnya di sebuah pasar raya terkemuka di Putrajaya, di sini.
Malah, lebih mengejutkan, pihak bank mendakwa sebanyak 15 transaksi dilakukan masing-masing 11 transaksi bagi kad kredit Visa dan 4 transaksi bagi Mastercard.
“Ketika dihubungi, saya sedang melakukan rawatan muka di Subang Jaya, dan terus mencapai beg tangan untuk melihat kad kredit yang disimpan di dalam dompet.
“Apabila membukanya, tiga kad kredit saya masih berada di dalam dompet tetapi apabila diperiksa didapati dua kad berkenaan adalah kad kredit palsu yang ditukar dua wanita terbabit.
“Menyedari kad kredit saya dicuri, saya kemudian menghubungi bank. Bagaimanapun, semua itu sudah terlambat kerana transaksi sudah dilakukan dan saya perlu menanggung kerugian,” katanya.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya pada hari kejadian.
Sementara itu, Chong menasihati orang ramai agar tidak meninggalkan dompet tanpa pengawasan kerana sindiket curi kad kredit terbabit amat licik menjalankan kegiatannya iaitu mereka akan menggantikan dengan kad kredit palsu bagi mengaburi mata mangsa.
Menurutnya, sebanyak tiga kes dilaporkan membabitkan sindiket itu dengan masing-masing dua kes pada tahun lalu dan satu kes tahun ini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JoliRM27_400dalam12jamgunakadkreditcuri/Article
No comments:
Post a Comment