2010/08/27
BALING: Lima beranak terpaksa berteduh di pondok buruk sejak lapan tahun lalu dan sering berpindah tempat tidur apabila hujan lebat kerana tempat tinggal mereka diperbuat daripada kayu hutan di Kampung Paya Besar Ulu, Kuala Ketil.
Pasangan Othman Zainol, 35, dan isteri, Nurazila Che Sa, 31, serta tiga anak tinggal di sebuah pondok usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih, malah keluarga itu terpaksa menggunakan air perigi untuk mandi, memasak dan membasuh pakaian setiap hari walaupun tahap kebersihannya meragukan.
Malah, keluarga itu menggunakan lampu minyak tanah dan lilin pada waktu malam dan menyukarkan seorang daripada anak mereka mengulang kaji pelajaran.
Nurazila berkata, mereka dikurniakan tiga anak, Mohd Amirul Amri, 9, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Besar, manakala Mohd Faiz Farhan, 6, dan Mohd Adam Naim, 16 bulan.
Menurutnya, suaminya tidak mampu membina rumah lebih selesa kerana mereka hidup kemiskinan apatah lagi pendapatan suaminya sebagai pemandu van kilang tidak seberapa.
“Saya pernah memohon mendapatkan bantuan, tetapi hingga kini tiada perhatian dan tindakan untuk membantu sedangkan ramai yang datang menjenguk.
“Saya sedih kerana kami masih terpinggir sedangkan kerajaan melaburkan peruntukan banyak untuk membasmi kemiskinan,” katanya yang ditemui, kelmarin.
Katanya, suaminya juga mengambil upah menoreh jika tidak keluar bekerja bagi menampung keperluan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang masih bersekolah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/8tahunhunipondokburuk/Article
1 comment:
Selamat Berpuasa kepada saudara juga. Terima kasih kerana sudi melawat blog saya.
Post a Comment