AMPANG: Tidak tahan kerana selalu dipukul suami, seorang wanita mengambil jalan mudah menghilangkan penderitaannya itu dengan meneguk ubat batuk secara berlebihan sebagai cubaan untuk membunuh diri.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu bernasib baik apabila dia sempat dibawa ke hospital sebelum dirawat di wad selama dua hari.
Dalam kejadian Khamis lalu di Bukit Indah, mangsa dikatakan tidak tahan kerana sering dipukul suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori sejak penghujung tahun lalu sehinggalah kejadian terbaru pertengahan Ogos lalu.
Menurut sumber, mangsa meneguk beberapa botol ubat batuk sebelum hilang kawalan kerana kesan ubat yang menyebabkan mengantuk.
Difahamkan, wanita itu menjadi mangsa belasan selepas mengetahui suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain.
“Sejak menjalin hubungan dengan wanita lain, suaminya mula mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga,” katanya.
Menurutnya, selepas dibenarkan pulang ke rumah, mangsa mendapati pintu rumah dimangga dengan kunci baru oleh suaminya menyebabkan mangsa tidak dapat masuk.
“Mangsa kemudian pulang ke rumah ibu tidak jauh dari rumahnya,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit kerana terlalu kecewa dengan sikap suami yang kerap memukulnya selain mahu lelaki terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan mengesahkan menerima laporan yang dibuat wanita terbabit.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 kanun keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isteriseringdipukulsuamicubabunuhdiri/Article
No comments:
Post a Comment