Friday, August 27, 2010

Felda kena bayar RM11j

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/08/27

PUTRAJAYA: Seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan, lega apabila Mahkamah Persekutuan, di sini, semalam, mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada peneroka terbabit berkaitan isu gred buah kelapa sawit yang dibawa ke mahkamah lebih 10 tahun lalu.

Pada prosiding semalam, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif yang mengetuai panel tiga hakim mahkamah itu turut membuat keputusan menolak permohonan agensi itu yang mencabar keputusan mahkamah sama yang dianggotai panel lain sebelum ini, mengetepikan rayuan berkenaan pada 19 Januari lalu.


Felda sebelum ini, membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka terbabit.


Panel hakim, termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak boleh membenarkan permohonan berkenaan kerana tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya. Alauddin berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa bagi mengkaji keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan sebelum ini.


“Justeru, rayuan itu ditolak,” katanya. Mahkamah juga mengarahkan Felda membayar kos perundangan RM20,000.


Dewan dan ruang legar mahkamah sesak dengan kehadiran lebih 100 peneroka Felda berkenaan bersama ahli keluarga masing-masing bagi mendengar keputusan yang diumumkan Mahkamah Persekutuan yang akhirnya memihak kepada mereka. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka itu selepas peguam agensi berkenaan tidak hadir di mahkamah ketika saman didengar.


Mahkamah kemudian membuat keputusan memihak kepada peneroka selepas mendengar keterangan saksi mereka.


Jumlah itu meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul dan berdasarkan jumlah itu, setiap peneroka dijangka menerima sehingga M30,000 sebagai ganti rugi.


Kumpulan peneroka terbabit menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu memberikan nilai rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 menyebabkan mereka mengalami kerugian.


Dalam saman itu, mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3, Ibrahim Ismail (sudah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/FeldakenabayarRM11j/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...