Friday, August 27, 2010

Aida cerai talak satu

Oleh Muhamaad Razis Ismail

2010/08/27

PETALING JAYA: “Perceraian secara baik ini adalah jalan terbaik bagi kedua-dua pihak,” kata dramatis popular Aida Rahim, 52, yang ditemui di luar mahkamah selepas sah bercerai secara baik dengan suaminya penyanyi Joe Radzwil, 39, di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas lapan tahun berkahwin.

Joe (defendan) melafazkan `Aku ceraikan isteriku dengan talak satu’ yang juga talak raj’ie tepat pada jam 10.05 pagi dengan kebenaran mahkamah di depan Hakim Syarie Ghazali Ahmad selepas kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik.

Joe memandang ke arah tingkap dan bekas isterinya selepas melafazkan cerai itu manakala Aida (plaintif) yang hadir ke mahkamah berbaju kurung hitam dan berselendang tenang ketika mendengar lafaz itu.

Dalam prosiding semalam, terdahulu Joe melalui peguam syarie Roslizam Rahim memberitahu mahkamah kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan proses perceraian mereka secara baik.

Menurutnya, plaintif memohon mahkamah meminda kes perceraian mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sebelum itu kepada permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 enakmen sama. Ghazali Ahmad memutuskan menerima pindaan itu selepas berpuashati dengan hujahan dan keterangan kedua-dua pihak. Roslizam memaklumkan, plaintif turut bersetuju menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah terhadap bekas suaminya.


Hakim membenarkan permohonan itu dan mengarahkan sijil nikah pasangan itu dibatalkan dan perceraian perlu direkodkan di Jabatan Agama Islam Daerah Petaling. Joe yang ditemui di luar mahkamah memberitahu pemberita, keputusan itu dibuat selepas menjalani ibadah umrah di Makkah.


“Saya baru dua hari pulang dari sana. Di sana saya membuat istikarah dan alhamdulillah, saya mendapat petunjuk membuat keputusan ini,” katanya.


Dia turut mengakui berasa lebih tenang selepas membuat keputusan itu.


Apabila ditanya berhubung persetujuan plaintif menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah itu dia berkata ia bertujuan mengelakkan timbul rasa tidak senang hati antara mereka selepas ini.


Aida yang berada di sebelah Joe menyatakan keputusan ini dibuat sebelum bekas suaminya itu membuat umrah. “Di sana dia mendapat petunjuk yang memperkukuhkan lagi keputusan hasil perbincangan sebelum ini dan kami akan terus bersahabat,” katanya. Kedua-dua mereka bersalaman sebelum meninggalkan mahkamah.

Pada 27 April lalu Aida memfailkan fasakh terhadap bekas suaminya itu selepas mendakwa Joe gagal memberi nafkah lebih daripada tiga bulan dan defendan lazim menyakiti dan menjadikan hidup plaintif menderita.


Bagaimanapun, pada 22 Jun lalu, Joe memfailkan penyataan pembelaan dan tuntutan balas serta perintah kembali taat terhadap fasakh difailkan Aida. Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Ahmad dan Joe atau Ismail Ahmad@ Mohd Radzwil bernikah di Yala, selatan Thailand pada 6 November 2002.


Pada 3 September 2009 pasangan itu mengesahkan pernikahan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.


Pasangan itu tidak dikurniakan anak. Bagaimanapun masing-masing mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan terdahulu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidaceraitalaksatu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...