Friday, August 20, 2010

Bayi bogel depan pagar

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/08/19

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja perempuan yang mahu keluar ke kedai terkejut apabila menemui bayi lelaki dengan keadaan masih bertali pusat yang ditinggalkan tanpa seurat benang di depan pagar rumahnya di Kampung Hulu Takir, Seberang Takir di sini, kira-kira jam 10.15 malam kelmarin.

Nur Hafiana Marzuki, 19, berkata, selepas menemui bayi berkenaan, dia segera memberitahu bapanya, Lans Koperal Marzuki Hamid, 44, yang bertugas di Unit Hal Ehwal Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mengenai penemuan itu.


Menurutnya, dia tidak menyangka objek dilihatnya ketika hendak keluar rumah adalah bayi lelaki yang cukup sifat dan normal.


“Saya terkejut kerana tidak mendengar tangisan bayi dan segera mengambil selimut bagi mengelak bayi itu kesejukan selepas ditinggalkan berbogel atas rumput,” katanya.


Bapanya, Marzuki berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar ke sebuah pasar raya di bandar bersama isteri dan dua anaknya dan Nur Hafiana tidak mengikut mereka kerana kurang sihat.


“Sebaik menerima panggilan, saya segera pulang ke rumah dan setibanya di sana, terus membawa bayi itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.


“Selepas memastikan keadaan bayi itu selamat, saya bergegas pula ke Balai Polis Gong Badak untuk membuat laporan kira-kira jam 11.30 malam,”
katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata pemeriksaan dan rawatan awal doktor mendapati bayi seberat 3.03 kilogram itu sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta disahkan doktor baru dilahirkan tidak sampai 24 jam berdasarkan keadaan bayi dan masih bertali pusat.


“Bertindak atas maklumat, polis segera menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


“Pasukan forensik juga sudah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui sehelai sapu tangan merah jambu yang ditinggalkan berhampiran tempat bayi itu ditemui,”
katanya.


Beliau berkata, polis turut melawat bidan berhampiran kawasan terbabit dan mendapati tiada wanita melahirkan anak dan siasatan di klinik berhampiran juga menunjukkan tiada wanita menerima rawatan bersalin.

“Kami akan teruskan siasatan dengan meluaskannya ke kawasan berlainan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayibogeldepanpagar/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...