MELAKA: “Perkara ini (berkhalwat) amat mengaibkan apatah lagi berlaku ketika Ramadan. Kamu sebagai ibu tunggal beranak empat sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada anak dan bukan membenarkan lelaki bukan mahram berada di rumah.”
Begitu kata Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Asri Tahir ketika menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,700 terhadap seorang suri rumah, Rokiah Muda, 40, yang mengaku bersalah bersekediaman dengan lelaki bukan mahram, pagi semalam.
Tertuduh ditangkap dalam tempoh 24 jam bersama pasangannya seorang warga Pakistan yang hanya dikenali sebagai Ahmad, 45, di rumahnya di Kilometer 23 Jalan SS 12, Taman Seri Sutera Pengkalan, Alor Gajah, sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Mohd Asri dalam penghakimannya juga menasihati kedua-dua tertuduh bertaubat dan tidak mengulangi kesalahan itu.
“Saya amat terkilan tangkapan berlaku ketika Ramadan iaitu bulan seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w, ditutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga kerana kita disuruh memperbanyakkan amal ibadat dan tidak melakukan maksiat.
“Awak berdua ditangkap pada waktu siang iaitu kira-kira jam 9.15 pagi ketika orang Islam berpuasa,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah Pegawai Pendakwa Syarie, Che Zam Zam Che Man bahawa kedua-dua tertuduh tidak menghormati Ramadan.
“Tertuduh (Ahmad) sebagai warga Pakistan tidak sepatutnya melakukan perbuatan maksiat ini. Kamu tidak dihalang mencari rezeki di negara ini, tetapi jangan lakukan maksiat. Kamu boleh dihantar ke negara asal selepas ini kerana kesalahan ini.
“Saya harap kamu berdua bertaubat dan ingatlah bahawa saya tidak teragak-agak memberi hukuman lebih berat termasuk penjara jika kamu mengulangi kesalahan ini,” katanya yang menetapkan kedua-dua tertuduh dipenjara lima bulan masing-masing jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Rokiah didakwa berkurung hingga mendatangkan syak dengan Ahmad di rumah di Kilometer 23 Jalan SS 12, Taman Seri Sutera, Pengkalan, Alor Gajah, jam 9.15 pagi semalam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 53 (2), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntuk hukuman denda RM2,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Warga Pakistan itu yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 53 (1) didenda RM2,500 oleh mahkamah.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Iniamatmengaibkan__8217_/Article
No comments:
Post a Comment