Friday, August 20, 2010

Raja Azmi tidur lokap



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hadzlihady Hassan dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/08/20

AMPANG: Hanya sehari selepas namanya terpampang di media kerana dikaitkan dengan kes perceraian pemain badminton negara, Roslin Hashim, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman yang juga isteri bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek sekali lagi mencipta kejutan apabila ditahan polis, petang semalam.

Bagaimanapun, penahanan wanita berusia 51 tahun itu ketika hadir di Balai Polis Ampang di sini, kira-kira jam 3.30 petang tiada kaitan dengan kes rumah tangga Roslin, sebaliknya disebabkan kegagalannya menghadiri satu perbicaraan mahkamah pada Julai lalu.

Sumber polis berkata, Raja Azmi yang pernah dikenakan waran tangkap berikutan kesalahannya itu ibarat menyerah diri berikutan dia ditahan ketika hadir di Balai Polis Ampang untuk membuat laporan mendakwa isteri Roslin, Norhayati Othman, 38, memberi keterangan tidak benar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur kelmarin berhubung kononnya dia berkhalwat dengan pemain badminton negara itu.

“Dia tiba di Balai Polis Ampang dengan menaiki kereta ditemani Roslin dan seorang lagi kenalannya. Malah, seorang lagi pegawai polis turut mengambil keterangan bertulis daripada Roslin berhubung laporan yang dibuat sebelum itu bersama Raja Azmi.

“Polis hanya menahan Raja Azmi sejurus selepas dia memberi keterangan mengenai laporan dibuatnya,”
kata sumber itu.

Difahamkan, Raja Azmi gagal hadir di mahkamah bagi perbicaraan berhubung kes bankrap bersama suaminya.

Sumber itu berkata, disebabkan waran tangkap ke atasnya baru dikeluarkan pihak mahkamah, Raja Azmi tidak boleh dijamin dan terpaksa bermalam dalam lokap wanita Balai Polis Pandan Indah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menahan penerbit filem itu kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Menurutnya, Raja Azmi ditahan atas kesalahan tidak hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Bahagian Dagang pada 21 Julai lalu.

“Tahanan terhadapnya dilakukan di Balai Pandan Indah, Ampang di sini. Dia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi esok (hari ini) atas waran tangkap dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Kelmarin, Raja Azmi mencetuskan kontroversi apabila Norhayati memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, wanita itu berdua-duaan bersama suaminya di bilik Hotel Corus, Jalan Ampang di sini.

Dalam keterangannya itu, Norhayati bersama dua adik dan ibunya menemui Roslin bersama Raja Azmi dalam bilik hotel terbabit pada jam kira-kira 8 malam 7 Ogos lalu sebelum Roslin melafazkan ‘I cerai youlah’ pada jam 8.32 malam.

Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru berkahwin dan Roslin pada 9 Julai lalu di Hotel Flamingo, Jalan Ampang, di sini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...