Friday, August 20, 2010

Paksa berbuka

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
2010/08/19

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah rendah di ibu kota kecoh apabila seorang ustaz yang juga guru disiplin memaksa satu kelas terdiri daripada lebih 20 murid tahun empat untuk meminum air jampi yang didakwanya mampu menurunkan bala kepada mereka yang meneguk air berkenaan, kelmarin.

Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan separuh murid terpaksa berbuka puasa, sebaliknya mereka takut selain enggan pergi ke sekolah, semalam. Difahamkan, tindakan ustaz berusia lewat 30-an itu bertujuan menjejaki ‘toyol’ dipercayai di kalangan muridnya yang mencuri telefon bimbit milik seorang guru sekolah berkenaan.


Malah, ustaz terbabit individu bertanggungjawab menyediakan air jampi itu kerana dia mendakwa dirinya mempunyai kebolehan luar biasa.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, ustaz terbabit mendakwa setiap murid yang bersubahat dan enggan menyerahkan semula telefon bimbit berkenaan akan jatuh sakit selain muntah darah.


Menurut sumber, bagaimanapun tindakannya itu mengundang padah apabila beberapa waris yang tidak berpuas hati menyerang pengurusan sekolah berkenaan sebelum tampil ke balai polis untuk membuat laporan.


“Semuanya bermula apabila seorang guru wanita berusia pertengahan 20-an mendakwa kehilangan telefon bimbit dan yakin dia tertinggal telefon itu di dalam kelas berkenaan.


“Namun, guru berkenaan gagal menemui semula telefon itu selepas melakukan pemeriksaan dalam kelas itu.


“Dia (guru wanita) melaporkan kejadian itu kepada ustaz terbabit,”
katanya.


Sumber berkata, ustaz terbabit masuk ke dalam kelas berkenaan sebelum meminta murid bertanggungjawab menyerahkan telefon bimbit itu.


“Disebabkan semua murid berkenaan mendiamkan diri, dia mendakwa akan menyediakan air jampi yang mampu menurunkan bala.


“Selepas melakukan jampi ke dalam beberapa botol air, dia memaksa semua murid kelas itu meneguk air berkenaan.

“Biarpun selepas minum air itu, tiada seorang murid mengaku mencuri telefon bimbit berkenaan. “Berang dengan kejadian itu, ustaz terbabit mendakwa Tuhan tidak akan menurunkan bala kepada seorang individu saja, sebaliknya jika berlaku bencana ia akan menimpa semua orang.


“Mereka semua bagaimanapun dibenarkan pulang sebaik tamat waktu persekolahan,” katanya.


Sumber berkata, kerana bimbang mengenai bencana yang bakal menimpa mereka, sebilangan murid menceritakan kejadian itu kepada waris masing-masing.


“Beberapa waris tampil ke sekolah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan, namun mereka tidak berpuas hati dengan keterangan diberikan.

“Mereka (waris) membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.


Difahamkan, telefon bimbit guru berkenaan belum ditemui dan sehingga kini, tiada murid jatuh sakit atau memuntahkan darah.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Paksaberbuka/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...