KUALA LUMPUR: “Saya terkejut ia (perceraian) berulang lagi,” kata Faizah Mohamad, bekas isteri, Roslin Hashim berhubung kes perceraian kali kedua jaguh badminton negara itu.
Faizah, 33, berkata, apabila mengetahui Roslin, 35, berkahwin dengan Norhayati Othman, 38, menerusi media pada 10 Julai lalu, dia berdoa semoga hubungan mereka berkekalan dan tidak senasib dengannya.
“Saya tidak sangka perkara sedemikian berlaku lagi, malah anggota keluarga saya juga terperanjat,” katanya yang dihubungi semalam.
Menurutnya, dia bersimpati dan dapat memahami perasaan Norhayati yang berpisah dengan suami ketika usia perkahwinan masih muda.
“Tidak ada wanita yang berkahwin dan mahu bercerai dalam masa singkat kerana selepas menjadi isteri, suami adalah masa depan wanita itu,” katanya yang enggan mengulas lanjut kerana kes perceraian itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Mengenai apa yang berlaku terhadapnya sebelum ini, Faizah berkata, dia sudah melupakannya dan memaafkan bekas suaminya itu.
Ditanya sama ada dia sudah bertemu jodoh, Faizah bagaimanapun enggan memberi komen.
“Hidup saya tenang dan baik sekarang,” katanya. Abang Faizah, Zulkifli Mohamad, 36, pula berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap adik dan keluarganya.
“Sejak perkahwinannya hanya bertahan selama 12 hari, ramai lelaki menjauhkan diri dari adik saya dengan pelbagai andaian negatif,” katanya. Sementara itu, Norhayati yang juga Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dihubungi enggan memberi komen dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menentukan keputusan.
“Biar semua persoalan terjawab di mahkamah,” katanya.
Perceraian Roslin dengan Faizah sebelum ini menjadi perhatian apabila hanya bertahan 12 hari apabila bernikah pada 30 Januari dan bercerai pada 11 Februari 2009.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bekasisteriterkejut/Article
No comments:
Post a Comment