Tuesday, October 12, 2010

Keluar ikut tingkap

2010/10/12

MELAKA: Bas ekspres Delima dipandu laju sebaik melepasi Plaza Tol Ayer Keroh dan sentiasa berada sama ada di laluan tengah atau paling kanan lebuh raya sebaik keluar dari plaza tol itu.

Seorang jurutera, Nur Shahila Abdullah, 25, iaitu penumpang bas ekspres berkata ketika melalui Batu Berendam sebelum itu, bas berkenaan bergerak perlahan kerana banyak kenderaan.


“Saya yang duduk di kerusi nombor 23 dekat tingkap sebelah kanan, tidak tidur sepanjang perjalanan dan menyedari bas dipandu laju serta sentiasa berada sama ada di laluan tengah atau paling kanan lebuh raya sebaik keluar dari plaza tol itu.


“Tiba-tiba bas melanggar pembahagi lebuh raya dan hilang kawalan lalu berpusing menyebabkan saya terpelanting dari tempat duduk.


“Dalam keadaan sakit pinggang dan luka kecil, saya berjaya keluar dari tingkap yang pecah dibantu orang ramai sebelum menyeberang lebuh raya. Ketika itulah saya dapat lihat keadaan bas serta kawasan kemalangan yang begitu teruk. “Sebelum keluar saya lihat penumpang di sebelah cedera dan berdarah serta tidak bergerak. Ada dua perempuan tersepit dan saya dengar suara orang menjerit,” katanya yang bekerja dengan syarikat kejuruteraan di Batu Caves dan datang ke Melaka untuk bertemu rakan.


Menurutnya, itulah kali pertama dia menggunakan perkhidmatan bas ekspres Delima kerana biasanya dia menggunakan bas Transnasional. “Memang saya akan trauma nak naik bas selepas ini,” katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.


Sementara itu, pemandu bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Umar Yusop, 31, berkata dia nampak bagaikan satu lintasan datang menyambarnya sebelum dia pengsan.


Lintasan dilihat Umar itu sebenarnya bas ekspres Delima yang terbabas memasuki laluannya di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan berhampiran Pedas, di sini, petang kelmarin.


Umar yang kini dirawat di Hospital Melaka (HM), dalam perjalanan pulang ke Melaka membawa 36 penumpang, iaitu veteran tentera bersama ahli keluarga mereka selepas menghadiri perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


Dia tidak dapat memastikan masa kejadian, sama ada petang atau malam, tetapi amat bersyukur kerana semua penumpang selamat.


“Saya tidak memandu laju, ikut had laju serta berada di lorong yang betul. Tiba-tiba nampak lintasan datang kepada saya. Lintasan itu sebenarnya bas daripada laluan bertentangan yang memasuki laluan saya. “Alhamdullilah, saya tidak pandu laju, mungkin sebab itu semua penumpang saya selamat.

“Ketika itu saya tidak menjerit atau cuba mengelak tetapi sempat menekan brek. Namun, jarak dengan bas itu terlalu dekat menyebabkan bas saya tetap merempuh bas itu. Namun saya amat bersyukur kepada Tuhan,” katanya yang patah tangan kanan, tulang rusuk dan bahu.


Sementara itu, ibunya, Milah Sulaiman, 65, berkata dia tidak berhenti menangis apabila dimaklumkan pihak hospital bahawa Umar cedera dalam kemalangan itu kira-kira kira-kira jam 6 pagi semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluarikuttingkap/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...