Tuesday, October 12, 2010

Panik tak dapat tarik keluar cucu

2010/10/12

REMBAU: “Saya panik kerana tidak dapat menarik keluar cucu, Mohd Aidil Mohd Riduan, 3, yang terperosok di bawah kerusi selepas bas kami naiki merempuh bas yang terbalik dan merintangi jalan.

“Saya cuba bangun namun gagal kerana kesakitan amat sangat di pinggang. Nasib baik ada orang datang tolong tarik saya dan cucu keluar,” kata Siti Mariam Osman, 51.


Siti Mariam bersama cucu dan suaminya, Mohd Yusof Hashim, 55, menaiki bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Stadium Bukit Jalil untuk pulang ke Bukit Rambai, Melaka, selepas menghadiri program Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera.


“Saya duduk di kerusi depan dan sempat melihat bas yang berada di laluan menghala ke Kuala Lumpur, hilang kawalan lalu terhoyong-hayang sebelum terbabas dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan.


“Pemandu bas yang kami naiki berusaha sedaya upaya cuba mengelak daripada melanggar bas yang terbalik itu namun gagal lalu merempuhnya. Saya dan penumpang lain menjerit ketakutan,” katanya.


Menurutnya, akibat rempuhan itu, dia tercampak dari kerusi manakala cucunya yang sedang tidur, terperosok ke bawah tempat duduk.


“Cucu menangis dan saya nampak kaca memenuhi ruang dalam bas serta turut mengenai badan cucu. Saya cuba menariknya keluar dari bawah kerusi kerana bimbang bas akan terbakar, namun gagal dan terpaksa meminta bantuan penumpang lain,” katanya.


Sementara itu Mohd Yusof berkata, keadaan sungguh menyayat hati kerana mayat bergelimpangan di sana sini manakala yang cedera menjerit kesakitan. “Saya bersama orang ramai cuba memberikan bantuan yang terdaya kerana tidak sampai hati melihat keadaan mayat dan mereka yang cedera,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Paniktakdapattarikkeluarcucu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...