SEREMBAN: “Saya nampak ada beberapa penumpang tercampak di merata tempat dalam bas yang bergolek selain jeritan penumpang yang cedera dan ketakutan,” kata seorang penumpang bas ekspres yang cedera dalam kemalangan mengorbankan 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Pedas, dekat sini, petang kelmarin.
Pelajar kolej, Tew Chi Ling, 18, berkata keadaan dalam bas ketika itu amat kelam kabut selepas penumpang yang cedera menjerit kesakitan manakala beberapa yang lain tidak bergerak dipercayai sudah mati.
“Sebelum kemalangan, saya terasa bas yang dipandu seorang lelaki terhoyong-hayang hingga ia gagal dikawal lalu terbalik beberapa kali dan masuk ke laluan bertentangan di sebelah.
“Sejurus selepas kemalangan, saya dapati tangan berdarah dan menggagahkan diri keluar dari bas yang terbalik,” katanya yang ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.
Menurut Tew, dia dan seorang rakan yang menaiki bas berkenaan merangkak keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.
Dia yang menuntut di sebuah kolej di ibu kota, menaiki bas berkenaan dari Terminal Melaka Sentral kira-kira jam 6 petang selepas pulang bercuti hujung minggu di rumah keluarganya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tercampakmeratatempat/Article
No comments:
Post a Comment