Tuesday, October 12, 2010

Sukar uji tulang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmtero.com.my
2010/10/12

PETALING JAYA: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain masih belum selesai berikutan terlalu banyak tulang yang perlu dianalisis.

Ini memerlukan masa yang panjang untuk membuat ujian berkenaan.


Difahamkan, serpihan tulang yang dipercayai milik individu yang dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, di sini pada 30 Ogos lalu agak sukar diuji berikutan keadaan tulang yang dibakar selain berada terlalu lama dalam air.


Ketua Pengarah Jabatan Kimia, N Hithaya Jeevan berkata, pihaknya masih menjalankan ujian terhadap kes pembunuhan berprofil tinggi itu dan meminta masyarakat bersabar. “Siasatan kes ini tidak mungkin siap dalam masa terdekat. Masih banyak yang perlu dilakukan. Beri ruang kepada kami (Jabatan Kimia) untuk melakukan tugas supaya hasil diperolehi tepat.

“Dakwaan ujian DNA kes pembunuhan itu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat tidak tepat. Saya sendiri belum mengetahui tarikh sebenar ia akan dilengkapkan berikutan banyak lagi bukti masih dikumpul polis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Persaraannya di Jabatan Kimia, Petaling Jaya, di sini, semalam.


Difahamkan, kes pembunuhan kejam membabitkan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, adalah kes paling sukar yang pernah dikendalikan Jabatan Kimia.


Menurutnya, kes itu memerlukan penelitian yang tinggi selain memerlukan jangka masa yang panjang berbanding kes biasa yang mengambil masa tujuh hingga 14 hari bagi mendapatkan keputusan ujian DNA.


Ketika ditanya berhubung proses menjalankan ujian DNA itu, beliau yakin pihaknya akan memperolehi keputusan ujian memandangkan kepakaran dan peralatan yang digunakan jabatannya setanding dengan makmal di luar negara.


“Tidak timbul sebarang masalah berhubung kes ini kerana walaupun serpihan tulang yang ditemui itu terbakar tetapi ujian masih boleh dijalankan bergantung kepada suhu tulang yang dianalisis. “Kami menjalankan analisis mengikut prosedur dan protokol biasa. Apabila semuanya sudah selesai kami akan maklumkan kepada polis,” katanya.


Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar bahawa pihaknya sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan kejam terbabit melalui ujian dijalankan terhadap beberapa sampel yang ditemui di lokasi kejadian termasuk serpihan tulang.


Hithaya Jeevan mengharapkan tiada lagi individu yang cuba menimbulkan sebarang spekulasi walaupun beliau sedia maklum semua ternanti-nanti keputusan ujian DNA kes pembunuhan kejam yang akan merungkai seribu satu persoalan mengenai misteri cebisan tulang yang ditemui.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sukarujitulang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...