Tuesday, October 12, 2010

Nombor casis sama kereta di Jepun, Mercedes disita

12/10/2010 5:04pm

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLS 350 bernilai RM500,000 setelah didapati menggunakan nombor casis yang sama dengan sebuah kereta di Jepun.

Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan, Mohd. Nadzri Osman berkata, perkara itu terbongkar bulan lepas apabila Jabatan Kimia mengesahkan lima digit nombor casis itu mempunyai persamaan dengan kereta lain di Jepun, selepas melalui proses pendaftaran di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Pengedar kereta itu ingin melakukan proses pendaftaran di Puspakom pada 24 Jun lepas tetapi tidak diluluskan kerana terdapat gangguan pada nombor casis dan meminta pihak JPJ membuat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Beliau berkata, JPJ kemudiannya mengenal pasti nombor casis itu pada bahagian bawah tempat duduk pemandu.

"Kita telah buka dan kikis bahagian tempat duduk itu untuk periksa nombor casis dan minta pihak Jabatan Kimia untuk pengesahan nombor itu sama ada ia mempunyai persamaan dengan kereta lain,” katanya.

Mohd. Nadzri berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Interpol untuk membongkar perkara itu.

Beliau berkata, kereta terpakai yang berusia lima tahun itu diimport dari United Kingdom sebelum dijual di negara ini. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...