Tuesday, October 12, 2010

Keluarga dakwa bantuan lewat

2010/10/12

BATU PAHAT: Kelewatan pihak berkuasa memberi bantuan kepada mangsa kemalangan maut di Kilometer 223 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), petang kelmarin, dikatakan punca ramai mangsa gagal diselamatkan.

Keluarga Goo Chuan Heng, 34, pemandu van yang maut di tempat kejadian sedih perkara terbabit berlaku kerana berpendapat, kematian anak keenam daripada 10 beradik itu dapat dielak sekiranya bantuan perubatan segera diberikan.


Abang mangsa, Goo Chuan Seng, 37, berkata, tidak logik semua mangsa diberikan bantuan selepas kira-kira dua jam kemalangan berlaku sedangkan terdapat hospital di kawasan berhampiran.


“Saya menerima panggilan telefon daripada kakak, Ai Wah, 42, yang turut berada di dalam van ketika kejadian pada jam jam 6.45 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama bapa, Ah Leng, 70 dan ibu, Tan King Choo, 65.


“Kami tiba di Melaka jam 8.30 malam dan disebabkan kesesakan lalu lintas, kami berhenti pada jarak empat kilometer dari lokasi kejadian sebelum menahan motosikal untuk tiba ke sana,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Taman Maju.


Menurut Seng, sebaik tiba di tempat kejadian, dia melihat adiknya berada dalam van tanpa diberikan sebarang bantuan sebelum dia sendiri memberanikan diri dan mengeluarkan mangsa dari kenderaan itu.


“Ketika itu, saya dapati dia tidak bernyawa tetapi yang menghairankan, mengapa tiada anggota daripada pihak berkaitan menghulurkan bantuan dan mengeluarkannya dari van berkenaan terlebih dulu.


“Saya memandu dari Batu Pahat dan jika diikutkan, jarak saya lebih jauh berbanding mereka yang bertugas bagi membantu mangsa di lokasi,” katanya.


Menurut Seng, selepas semua mayat dikumpulkan pada jam 9.30 malam, ambulans menghantar semua mangsa ke Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan, menyebabkan mereka bergegas ke sana.


Katanya, apabila tiba di hospital berkenaan dan menunggu hampir dua jam, dimaklumkan mayat adiknya itu dihantar ke Melaka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargadakwabantuanlewat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...