Tuesday, December 7, 2010

Akta lindung pemberi maklumat kuatkuasa 15 Dis

Dis 6, 10 8:04pm

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA), inisiatif perundangan utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi menangani rasuah, akan mula berkuatkuasa 15 Disember ini.

Akta tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat pada pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, tujuan akta ini adalah untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi kerahsiaan identitinya dan diberi imuniti daripada tindakan sivil atau jenayah serta perlindungan daripada mana-mana tindakan diambil yang akan membahayakan dirinya.

"Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah yang kini dilihat semakin berleluasa di negara ini.

"Jika seorang pemberi maklumat mahu membuat aduan berhubung tingkah laku yang tidak betul, mereka boleh berbuat demikian di mana-mana agensi penguatkuasa yang telah diberi kuasa untuk menerima pendedahan dan aduan dan menguatkuasa WPA. Identiti, profesion, alamat, pekerjaan pemberi maklumat itu secara automatik dilindungi," katanya kepada pemberita selepas taklimat 'Membanteras Rasuah Untuk Generasi Masa Depan" oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibunegara.

"Juga, bagi pihak pemberi maklumat, sebuah agensi penguatkuasa boleh meminta untuk penempatan semula tempat pekerjaan bagi pemberi maklumat," katanya.

Dengan terlaksananya akta ini, Malaysia telah mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah dan tidak akan bertolak ansur serta memberi ruang kepada gejala rasuah berlaku, selain menggalakkan lebih ramai orang tampil untuk membuat laporan tentang rasuah.

Semasa membentangkan Bajet 2010 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan mengenai pembentukan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat untuk menggalakkan pemberi maklumat mendedahkan amalan dan salah laku bersabit rasuah.

Liew berkata penyiasatan akan dilakukan untuk menentukan sama ada aduan yang diterima daripada pemberi maklumat adalah berdasarkan penipuan atau penyelewengan.

"Setelah dikaji sesuatu kes itu, segala perkembangan mengenai kes itu akan diberitahu kepada pemberi maklumat dan langkah-langkah yang diambil oleh SPRM," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata perlindungan di bawah akta itu boleh ditarik balik dalam keadaan tertentu seperti pemberi maklumat terlibat dalam perlakuan tidak senonoh atau aduan tersebut palsu atau remeh.

Beliau berkata akta itu juga relevan dengan sektor swasta memandangkan badan-badan seperti Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti juga diklasifikan sebagai agensi penguatkuasa.

"Oleh itu, kepakaran bagi mengendali dan menyiasat aduan sudah sedia ada dan kini dengan akta, mekanisme dan prosedur, perlindungan sedia ada juga boleh diperkukuhkan," katanya.

Liew juga berkata bahawa badan korporat juga perlu melaksanakan dasar pemberi maklumat mereka sendiri dalam peringkat dalaman kerana peluasan dasar sudah sedia ada bagi memupuk urus tadbir korporat yang baik.

Beliau berkata banyak syarikat seperti Malaysia Airlines dan Lembaga Pelabuhan Klang telahpun mula melaksanakan dasar pemberi maklumat mereka sendiri dan perbadanan yang lain perlu digalakkan untuk mencontohinya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150141

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...