Tuesday, December 7, 2010

Khir Toyo didakwa





SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, di sini, yang dibeli pada harga yang jauh lebih murah berbanding harga asal.

Mohamad Khir, 45, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendapatkan hartanah terbabit pada harga RM3.5 juta, melalui Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni, sedangkan hartanah berkenaan dibeli Ditamas Sdn Bhd dengan harga RM6.5 juta, pada 23 Disember 2004.

Dalam pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Azhaniz Teh Azman Teh, beliau didakwa mendapatkan bagi dirinya dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, dua tanah lot dan sebuah rumah yang terletak di nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, di sini, daripada Shamsuddin yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Dalam pertuduhan itu, Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini. Ketika itu beliau adalah Menteri Besar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan dibantu Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan Ketua Unit Pelucutan Harta, Jabatan Peguam Negara, Dzukifli Ahmad.

Sepanjang prosiding kes itu, semalam, Mohamad Khir yang diwakili peguam, M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi, kelihatan tenang.

Dalam prosiding itu, Abdul Gani menawarkan jaminan RM1 juta memandangkan kesalahan yang dilakukan Mohamad Khir serius dan membabitkan jumlah yang besar.

“Sebagai Wakil Rakyat dan menjawat jawatan tertinggi di Selangor pada masa itu, beliau sepatutnya lebih tahu dan tidak melakukan kesalahan berkenaan.

“Saya perlu menawarkan jumlah yang dapat memberi jaminan bukan saja kepada pihak pendakwaan, tetapi kepada semua untuk memberi jaminan kepada sistem perundangan,” katanya.

Bagaimanapun, Athimulan merayu jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya seorang ADUN dan tidak akan melarikan diri daripada menghadiri perbicaraan mahkamah.

Azhaniz Teh membenarkan Mohamad Khir dibebaskan dengan jaminan RM750,000 dan seorang penjamin.

Hakim juga membenarkan permohonan Abdul Gani untuk memindahkan kes untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Di mahkamah sama, Shamsuddin, 52, turut didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu dengan Mohamad Khir di tempat dan masa yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 165 kanun sama dan mengaku tidak bersalah.

Azhaniz Teh kemudian menetapkan wang jaminan untuk Shamsuddin pada jumlah yang sama dengan Mohamad Khir iaitu RM750,000 dengan seorang penjamin.

Shamsuddin yang tidak diwakili peguam, merayu wang jaminan itu dikurangkan tetapi rayuannya ditolak.

Mohamad Khir dan Shamsuddin kemudian dibebaskan setelah membayar wang jaminan.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8493650.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...