Tuesday, December 7, 2010

Minda: ‘Lihat bandar raya kami’

MENARA Shanghai setinggi 121 tingkat bukan saja akan menjadi satu lagi bangunan China yang akan mencatatkan rekod baru. Ia adalah talian hayat ekonomi bagi kelab elit pemaju pencakar langit negara itu.

Kegawatan ekonomi menjejaskan rancangan membina bangunan tinggi baru di Chicago, Moscow, Dubai dan beberapa bandar lain. Namun, di China, kerja membina Menara Shanghai setinggi 632 meter yang dijangka siap pada 2014 dan puluhan bangunan tinggi lain semakin rancak, didorong ekonomi yang memberangsangkan di samping menyediakan kerja untuk sekumpulan besar arkitek dan jurutera.


Pasaran bangunan pencakar langit di Amerika Syarikat boleh dianggap lumpuh, kata Dan Winey, Pengarah Urusan Genseler, syarikat arkitek Menara Shanghai yang beribu pejabat di San Francisco.

“Bagi kami, China akan menjadi pasaran besar untuk 10 hingga 15 tahun akan datang,” katanya.


China mempunyai enam daripada 15 menara tertinggi di dunia, berbanding tiga di Amerika Syarikat - tempat lahirnya pencakar langit. Tidak cukup dengan itu, China masih membina lebih banyak bangunan tinggi tanpa mempedulikan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya lambakan hartanah dan ia akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai negara paling banyak bangunan tinggi dalam senarai 100 menara tertinggi di dunia.


“Terdapat bandar raya di China yang tidak pernah didengar kebanyakan penduduk Barat, termasuk mengenai jumlah penduduknya yang lebih ramai dan lebih banyak bangunan tinggi berbanding separuh daripada bandar raya terkenal di Amerika,” kata Anthony Wood, Pengarah Eksekutif Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar di Institut Teknologi Chicago.

China juga mendahului pembinaan bangunan pencakar langit di negara sedang membangun yang menganjakkan pusat graviti lapangan itu dari Amerika Syarikat dan Eropah.


India, Brazil, Arab Saudi dan Indonesia mempunyai menara tinggi yang dalam pembinaan atau dalam perancangan. Di Teluk, Doha di Qatar dan Dubai, tempat terletaknya bangunan paling tinggi di dunia ketika ini - Burj Khalifa yang setinggi 163 tingkat - mempunyai 20 bangunan tertinggi yang dalam pembinaan, meskipun pembinaan satu daripadanya sudah ditangguhkan.

Anjakan itu amat drastik hingga perkongsian Amerika Utara dalam 100 menara paling tinggi di dunia akan jatuh daripada 80 peratus pada 1990 hanya kepada 18 peratus pada 2012, kata Wood.


Menurutnya, menjelang tahun itu, 45 bangunan paling tinggi di dunia akan terletak di Asia dengan 34 daripadanya di China.


“Dengan itu, 34 peratus daripada 100 bangunan paling tinggi di dunia akan berada di satu negara. Ia pernah berlaku sebelum ini, ketika Amerika Syarikat menguasai senarai berkenaan,” katanya.


Puluhan bandar raya kecil China membina daerah perniagaan baru untuk menggantikan kawasan bandar yang sesak. Mereka menjadikan daerah Pudong yang sesak dengan bangunan tinggi di Shanghai yang diwujudkan pada 1990-an di atas tanah tebus semula sebagai contoh.


“Kerajaan menggalakkan pembinaan seumpama itu dengan tujuan untuk memberi mesej jelas kepada dunia luar: Sila beri perhatian kepada bandar raya kami,” kata Dennis Poon, Ketua Pengurus Thornton Tomasetti, syarikat jurutera struktur Menara Shanghai.


Syarikat berpejabat di New York itu juga sedang mengusahakan pembinaan Pusat Kewangan Antarabangsa Ping An setinggi 115 tingkat di Shenzhen, berhampiran Hong Kong dan beberapa projek lain di China.


China mempunyai empat daripada 10 bangunan paling tinggi yang sedang dalam pembinaan berbanding dua di Amerika Syarikat. Lebih malang lagi, satu daripada bangunan yang dalam pembinaan di Amerika itu, Chicago Spire, sudah dihentikan.


Menara Shanghai akan menjadi menara pejabat paling tinggi di China, mengatasi Pusat Kewangan Dunia Shanghai (WFC) bersebelahan dengannya. Sebelum ini, WFC yang siap dibina dua tahun lalu, mengatasi Menara Jinmao untuk mendapat gelaran itu.


China mewakili 65 peratus daripada pendapatan Gensler di seluruh dunia, menerusi projek pembinaan bangunan setinggi 35 hingga 40 tingkat atau lebih, kata Winey.


Menurutnya, syarikat berkenaan terbabit dalam pembinaan 50 projek di China yang berjumlah lapan juta meter persegi, sama dengan keseluruhan ruang pejabat komersial San Francisco.


Pendapatannya di China meningkat antara 30 hingga 35 peratus setahun dan kakitangannya seramai 140 orang di pejabat di Beijing dan Shanghai mungkin berkembang kepada 500 orang dalam masa tujuh tahun.


Tianjin, bandar pelabuhan dan pusat penapisan minyak dengan impian untuk menjadi pusat kewangan dan teknologi, membina empat menara dengan ketinggian sekurang-kurangnya 75 tingkat. Satu daripadanya, Goldin Finance 117 yang akan mempunyai 117 tingkat dengan ketinggian hampir 600 meter.


Tanpa mencontohi cara Barat yang memisahkan menara untuk pejabat dengan bangunan apartmen, kebanyakan pemaju di China mempelbagaikan sumber pendapatan mereka dengan membina bangunan yang menggabungkan hotel dan ruang pejabat dan pusat beli-belah di bawah serta apartmen mewah di tingkat atas.


Ruang baru itu memasuki pasaran ketika Beijing berusaha memperlahankan ledakan dalam pembinaan bangunan kediaman mewah dan tempat beli-belah. Pihak berkuasa memberi amaran, lambakan penawaran itu akan menyebabkan pemaju berdepan masalah untuk membayar pinjaman bagi membina bangunan itu.


Tetapi, permintaan terhadap ruang pejabat begitu tinggi menjadikan pasaran untuk pencakar langit tidak akan berdepan dengan masalah seumpama itu,” kata Danny Ma, pengarah sebuah syarikat perunding untuk kajian bagi hartanah, CB Richard Ellis.


Menurutnya, bangunan baru itu akan diisi dalam masa yang singkat kerana kebanyakannya menawarkan kemudahan berkualiti tinggi seperti dikehendaki syarikat besar asing dan tempatan yang semakin berkembang di negara itu.


“Semakin banyak syarikat berminat untuk berpindah ke bangunan seumpama itu,” kata Ma. Menurutnya, pemaju mendapatkan penghuni terlebih dulu untuk 50 hingga 60 peratus ruang dalam projek baru, cukup dalam kebanyakan kes untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan.


China secara tidak langsung membantu memacu pembangunan reka bentuk bangunan pencakar langit dan perancangan bandar apabila kerajaan mendesak supaya bangunan yang dibina itu mempunyai ciri-ciri mesra alam dan menggabungkannya dengan menjadi sebuah bandar.


Menara Shanghai umpamanya akan mempunyai lapisan kaca berkembar untuk menebat, sekali gus mengurangkan kos pemanasan dan penyejukan, satu ciri terkini yang mungkin ditolak kerana perbelanjaan yang mahal untuk memasangnya di Amerika Syarikat atau pasaran Barat lain, kata Winey. - AP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda___8216_Lihatbandarrayakami__8217_/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...