Tuesday, December 7, 2010

MB: S'gor akan tawar beli 4 syarikat konsesi air

Dis 6, 10 4:32pm

Kerajaan Selangor mendapat kebenaran bertulis pada 3 Dis daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk membeli kesemua empat konsesi syarikat air di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berikutan itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan tawaran terbuka untuk membeli kempat-empat syarikat konsesi air berkenaan bagi melaksanakan plan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri itu dalam tempoh tiga minggu mulai sekarang.

"Kita akan kemukakan tawaran terbuka mengikut syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti bagi tujuan pembelian dalam tempoh antara dua atau tiga minggu," katanya kepada pemberita hari ini.

Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn. Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.

Abdul Khalid berkata langkah untuk membeli syarikat-syarikat konsesi itu serta pendirian kerajaan negeri berhubung isu air, akan dimaklumkan kepada kementerian berkenaan.

Menurutnya beliau berpendapat keputusan Kerajaan Persekutuan memberi sedikit kelonggaran dalam isu air itu untuk mempercepatkan projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor bagi membekalkan sebanyak 1,890 juta liter air mentah sehari ke Lembah Klang.

Sebelum ini, wujud masalah antara kerajaan Selangor dengan SYABAS, yang merupakan syarikat pengurusan air di negeri itu, termasuk pertikaian mengenai kenaikan kadar tarif air.

November lepas, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mahu menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus untuk pengguna air di Selangor menerusi proses penstrukturan industri air di Selangor yang masih dalam rundingan.

Mengikut perjanjian penswastaan industri air Selangor yang ditandatangani oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 2004, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menetapkan kenaikan tarif air pada kadar 37 peratus pada 2009, 25 peratus pada 2012 dan 20 peratus lagi pada 2015, katanya.

Pada masa ini, kadar tarif air domestik di Selangor ialah 57 sen bagi setiap 20 meter padu pertama, dan berdasarkan perjanjian konsesi itu, tarif air itu akan meningkat sehingga RM1.17 bagi setiap meter padu pada 2015.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak bersetuju kadar tarif air dinaikkan kerana mendakwa SYABAS tidak mematuhi syarat-syarat perjanjian konsesi air itu.

Jika konsesi industri air disusun semula, kenaikan tarif air dapat dikurangkan dan harga bekalan itu dapat distabilkan, katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/150103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...