Thursday, January 20, 2011

BAM perlu buka mata

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

KEGAGALAN pemain pelapis negara pada kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia memanggil bekas jaguh perseorangan kebangsaan, Ong Ewe Hock menyuarakan cadangan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya menilai semula polisi dan menjadikannya lebih terbuka.

Ewe Hock berkata, BAM sepatutnya membuka lebih peluang kepada pemain dari kelab mewakili negara dalam kejohanan utama dunia jika mereka mampu menunjukkan prestasi baik bukan hanya memberi tumpuan kepada pemain dalam persatuan itu.


Katanya, membuka lebih peluang kepada pemain kelab membawa cabaran negara menjadikan saingan di kalangan pemain lebih kompetitif sekali gus menghasilkan banyak pilihan untuk mencari pemain berbakat.

Ewe Hock berkata, pendekatan itu sudah diamal di banyak negara, malah Taiwan tampak berjaya menggunakan formula itu. Dia yang pernah menjadi jurulatih salah sebuah kelab di negara itu, iaitu di Kaohsiung berkata, kepentingan negara perlu diutamakan, bukan kepentingan persatuan atau individu.

“Saya fikir BAM perlu ada satu sistem yang menawarkan tempat kepada pemain di luar skuad kebangsaan untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan utama jika pemain itu menunjukkan prestasi yang bagus.


“Perkara ini dapat membantu Malaysia mendapatkan lebih banyak pilihan apabila tiba sesuatu kejohanan besar dan menggalakkan pertumbuhan lebih banyak kelab di negara ini. Keadaan ini akan membantu pembangunan badminton,” kata Ewe Hock yang hadir menyaksikan kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Katanya, pengalaman singkat menjadi jurulatih di Taiwan membuka matanya kepada sistem baru yang tidak pernah dilihat selama ini. Kebanyakan pemain utama negara itu datang dari kelab dan hanya beberapa pemain yang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan menjadi pemain utama.


Ketika ini, polisi BAM sememangnya lebih terarah memberi peluang kepada pemain skuad kebangsaan, namun badan badminton negara itu tidak pernah menutup pintu kepada bekas pemain kebangsaan yang bergerak secara profesional. Pemain veteran, Wong Choong Hann pernah dipanggil menguatkan cabaran Malaysia pada Piala Thomas tahun lalu walaupun meninggalkan skuad kebangsaan sebaik tamat Sukan Olimpik Beijing 2008. Muhammad Hafiz Hashim juga beberapa kali dipanggil mewakili negara di kejohanan utama ketika dia beraksi bersama Nusa Mahsuri sebelum dia akhirnya mengambil keputusan menyertai skuad kebangsaan, dua tahun lalu.

Ditanya adakah dia sedia kembali ke pangkuan skuad kebangsaan bagi membantu mengatasi masalah ketandusan pemain pelapis jika berpeluang, Ewe Hock, 39, yang meninggalkan skuad kebangsaan pada 2004 mengakui, peluang itu adalah sesuatu yang terlalu istimewa, sukar ditolak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BAMperlubukamata/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...