Thursday, January 20, 2011

Tunisia siasat aset milik bekas presiden


ribuan penunjuk perasaan memprotes pemerintah baru Tunisia di Tunis semalam.


TUNIS - Seorang pendakwa raya Tunisia telah membuka kertas siasatan terhadap aset seberang laut milik bekas presiden Tunisia yang melarikan diri, Zine El Abidine Ben Ali dan keluarganya.

Agensi berita rasmi Tunisia, TAP menyatakan, pejabat pendakwa raya semalam memutuskan untuk menyiasat akaun-akaun bank, hartanah dan aset lain milik Zine, isterinya Leila Trabelsi dan saudara-mara mereka.

Bekas presiden Tunisia itu melarikan diri ke Arab Saudi pada Jumaat lepas selepas pentadbirannya selama 23 tahun gagal membendung tunjuk perasaan rakyat yang memprotes pemerintahannya yang dicemari rasuah dan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan golongan muda.

Pentadbiran Tunisia kini diambil alih oleh Speaker Parlimen, Foued Mebazaa yang menjadi presiden sementara dengan Mohammed Ghannouchi sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, pentadbiran Switzerland semalam mengarahkan supaya dana milik bekas presiden Tunisia itu yang disimpan di Switzerland, dibekukan.

"Pentadbiran Switzerland mahu mengelak industri kewangannya daripada digunakan bagi menyembunyikan dana," kata Menteri Luar Switzerland, Micheline Calmy-Rey.

Kelmarin, sebuah akhbar Perancis menyatakan Leila bertindak melarikan diri ke luar negara bersama jongkong-jongkong emas seberat 1.5 tan bernilai lebih £35 juta (RM171.3 juta).

Leila, 53, telah mengarahkan Bank Negara Tunisia supaya menyerahkan jongkong-jongkong emas itu pada minggu lalu.

Sementara itu, ribuan penunjuk perasaan melakukan protes bagi menentang kewujudan pemerintah sementara kerana ia masih dikuasai ahli-ahli parti politik milik bekas presiden yang melarikan diri itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...