SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah bahawa tindakan baginda menandatangani proklamasi memanggil mesyuarat Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari ini jangan disalahertikan bahawa baginda menyokong mana-mana pihak.
“Beta menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat Dewan Negeri di bawah sub-peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri yang ditetapkan pada 24 Januari 2011,” titah baginda dalam satu perutusan yang dikeluarkan, semalam.
Sultan Selangor bertitah proklamasi itu ditandatangani baginda selaras dengan kuasa dan tanggungjawab baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Baginda juga berharap agar mesyuarat dewan pada kali ini dapat dijalankan dengan teratur mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Janganlah hendaknya perjalanan kuasa Beta menandatangani proklamasi ini disalahertikan bahawa Beta menyokong mana-mana pihak dan janganlah Beta diseret dan dilibatkan masuk dalam kancah politik oleh mana-mana pihak berkepentingan yang tidak bertanggungjawab,” titah Sultan Selangor.
Dalam kenyataan akhbar yang berasingan, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda menerima draf pindaan Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan baginda meneliti cadangan pindaan itu.
“Bagaimanapun baginda menyerahkan kepada kebijaksanaan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menilai sama ada pindaan tersebut wajar diterima untuk diluluskan ataupun tidak,” kata Mohamad Munir. - Bernama
No comments:
Post a Comment