Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang diambil kenyataannya oleh pegawai polis dari IPK Kota Bharu semalam berkaitan dengan isu perlantikan sultan Kelantan yang baru di rumahnya di Jalan Langgak Golf di Kuala Lumpur kini kembali menyuarakan tuntutan negeri itu ke atas royalti minyak yang diperolehi oleh Petronas. Menurut Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li, rakyat negeri itu adalah berhak ke atas sumber berkenaan yang didapati daripada kawasan bumi mereka sendiri.
Ahli kerabat diraja Kelantan yang kanan itu menggesa semua pihak duduk dan menyelesaikan isu ini dengan baik demi kepentingan dan keadilan yang wajar bagi rakyat negeri itu.
Meskipun Ku Li dilihat menghadapi masalah dengan Istana Kelantan, namun perjuangannya tentang isu petroleum ini akan diteruskan kerana beliau berkhidmat untuk rakyat negeri itu dan ia melibatkan isu federalisme.
Beliau yang ditarik darjah kebesarannya sebelum ini oleh sultan baru, Sultan Muhammad V pada hujung tahun lepas menjelaskan bahawa kedua-dua isu ini iaiti royalti minyak dan pengurniaan darjah kebesaran adalah dua perkara yang tidak berkaitan.
Ku Li menegaskan sekali lagi tujuan penubuhan Petronas sendiri adalah bagi memajukan negeri-negeri di pantai timur semenanjung yang menjadi kawasan kediaman majoritinya adalah orang Melayu dan orang asli.
Katanya lagi, disebabkan dasar itu lah menteri besar dan ketua negeri menandatangani perjanjian dengan Petronas di bawah konsep federalisme untuk menyerahkan hak negeri kepada syarikat tersebut untuk menggali dan memproses minyak.
Oleh yang demikian, jika minyak ditemui di negeri Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan atau di Sabah dan Sarawak, negeri-negeri ini perlulah dibayar royalti yang sepatutnya.
Selain itu, perkembangan terbaru isu tuntutan kes royalti terhadap Petronas oleh kerajaan negeri Kelantan menunjukkan kerajaan persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) cuba masuk campur dengan istilah ‘mencelah’ kes berkenaan.
Pada 27 Januari nanti, menurut exco kanan kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, kerajaan pusat akan menfailkan permohonan di mahkamah tinggi perdagangan Malaysia untuk menjadi defendan kedua di dalam tuntutan kerajaan negeri itu yang dibuat pada tahun lalu.
-KLToday.com
http://www.kl-today.com/?p=11032
No comments:
Post a Comment